KHIEW Hoe Yean dari UCSI (kiri) dan Ong Yong Qi dari Sunway University selepas dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati SUKIPT 2022.
KHIEW Hoe Yean dari UCSI (kiri) dan Ong Yong Qi dari Sunway University selepas dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati SUKIPT 2022.
Affan Rostam


Tanjung Malim: Kejayaan perenang dari UCSI University, Khiew Hoe Yean meraih 11 pingat emas menerusi sukan renang membolehkannya dinobatkan sebagai Olahragawan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022.

Acara renang di Kolam Renang Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu menyaksikan Hoe Yean membolot lapan pingat emas individu dan turut membantu USCI meraih tiga emas acara berpasukan.

Prestasi memukau dipamerkan perenang berusia 19 tahun itu berjaya menempatkan UCSI untuk berada dalam kelompok lima IPT terbaik pada temasya kali ini.

Hoe Yean menganggap anugerah diterimanya itu mampu menjadi pembakar semangat untuk terus memperagakan aksi cemerlang bagi menghadapi kejohanan lebih besar pada masa akan datang.

Malah, dia turut mensasarkan pingat emas dalam temasya Sukan Sea Kemboja yang dijadual berlangsung pada tahun hadapan.

"Sebenarnya saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk memenangi banyak pingat emas buat UCSI, apatah lagi untuk dinobatkan sebagai olahragawan.

"Bagaimanapun, saingan untuk merebut gelaran olahragawan cukup sengit dan saya cukup teruja dapat bersaing dengan atlet terbaik dari universiti lain.

"Selepas ini saya akan meneruskan latihan dan mahu berusaha lebih keras terutama persiapan menjelang Sukan Sea Kemboja pada Mei tahun depan," katanya selepas menerima anugerah Olahragawan SUKIPT 2022.

Hoe Yean memenangi emas menerusi acara 400 meter (m) gaya bebas, 50m kuak lentang, 100m gaya bebas, 4x100m gaya bebas, 4×200m gaya bebas, 400m individu medley, 200m gaya bebas, 200m kuak, 800m gaya bebas, 100m kuak lentang dan 1500m gaya bebas.

Sementara itu, Olahragawati SUKIPT 2022 mennjadi milik perenang Sunway University, Ong Yong Qi selepas menggenggam lima pingat emas iaitu empat daripada acara individu dan satu acara berpasukan.

Yong Qi meraih emas menerusi acara 400m gaya bebas, 200m individu medley, 4x100m medley, 200m kuak lentang dan 200m gaya bebas.

"Saya tak sangka tapi tetap gembira kerana boleh dapat gelaran ini. Saya berterima kasih kepada jurulatih, keluarga, rakan sepasukan dan semua yang menyokong.

"Ini antara pencapaian tertinggi saya dan dianggap sebagai permulaan untuk terus berikan yang terbaik selepas ini," katanya.

Masing-masing membawa pulang wang tunai RM3,000 serta trofi yang disampaikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad dalam majlis penutup yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor UPSI, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 2:39 PM