HOE Yean akan bertanding dalam empat acara renang di Sukma 2022.
HOE Yean akan bertanding dalam empat acara renang di Sukma 2022.
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Perenang negara, Khiew Hoe Yean enggan terlalu mendongak ke langit ketika menghadapi saingan di temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Lembah Klang, bermula 16 hingga 24 September ini.

Atlet berusia 20 tahun yang dipilih sebagai pembawa bendera bagi kontinjen Wilayah Persekutuan itu mengakui dia akan terus mempersiapkan diri biarpun sudah memegang status sebagai perenang elit.

"Kali ini saya akan ambil bahagian dalam dua acara individu dan dua acara berpasukan, jadi keseluruhannya empat acara.

"Sasaran saya adalah mendapatkan pingat bagi setiap acara itu tapi tidak semestinya emas.

"Saya akan buat yang terbaik sebab ini adalah Sukma yang juga temasya terbesar dalam Malaysia," katanya.

Hoe Yean berkata, kebarangkalian cabaran dalam temasya yang sudah memasuki edisi ke-20 ini akan datang menerusi perenang dari Selangor dan Sarawak selain turut berharap dia mampu untuk memperbaharui rekod peribadinya.

"Saya rasa perenang dari Selangor dan Sarawak antara yang akan memberikan cabaran dalam sukan renang ini. Mereka pencabar terbesar setakat ini.

"Bagaimanapun kali ini saya berharap dapat memperbaharui rekod peribadi saya. Jika dapat pecahkan rekod kebangsaan ia satu bonus, tapi sasaran utama saya adalah untuk terus berikan persembahan terbaik daripada sebelum ini," katanya.

Hoe Yean adalah pemenang pingat emas bagi acara 200 meter (m) gaya bebas di Sukan Sea Vietnam 2021 dan dinobatkan sebagai Olahragawan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 ketika mewakili UCSI University.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 6:44 PM