HOE Yean sukar digugat perenang lain.
HOE Yean sukar digugat perenang lain.
Affan Rostam


Tanjung Malim: Atlet UCSI University yang juga perenang negara, Khiew Hoe Yean mencipta sensasi apabila berjaya menyambar empat pingat emas pada hari pertama acara renang dipertandingkan di temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022, hari ini.

Acara berlangsung di kolam renang Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu menyaksikan Hoe Yean berhasil memecahkan rekod kejohanan dalam acara 400 meter (m) individu medley lelaki dengan catatan masa empat minit, 39 saat.

Perenang berusia 19 tahun itu kemudiannya meraih emas acara 200m gaya bebas, 200m kuak lentang selain turut membantu kuartet UCSI memenangi acara 4x100m.

Pemenang pingat emas acara 200m gaya bebas lelaki di Sukan Sea Hanoi 2022 itu juga berharap dapat mengekalkan momentum sama dalam kategori lain yang akan berlangsung esok dan lusa.

"Saya gembira dengan empat emas yang diraih ini. Ia satu permulaan baik pada penampilan pertama saya di SUKIPT.

"Jadi saya harap boleh mengekalkan momentum kemenangan ini kerana esok dan lusa saya masih ada beberapa yang akan disertai. Saya mahu menyumbang lebih banyak emas buat UCSI," katanya ketika ditemui selepas perlumbaan, hari ini.

Selain Hoe Yean, perenang wanita dari Universiti Sunway, Ong Yong Qi turut cemerlang apabila berjaya meraih emas menerusi acara 200m kuak lentang dan 200m gaya bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 9:25 PM