PEMAIN tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic dari Serbia pada sidang media di Tokyo, hari ini. FOTO EPA
PEMAIN tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic dari Serbia pada sidang media di Tokyo, hari ini. FOTO EPA
AFP

Tokyo: Pada ketika Novak Djokovic melangkah untuk melakar sejarah dan memenangi pingat emas acara tenis di Sukan Olimpik Tokyo, pemain nombor satu dunia itu mengakui dia tidak pernah menganggap gelaran Grand Slam Emas sebagai satu kemungkinan.

Pemain Serbia itu selepas muncul juara Terbuka Australia, Roland Garros dan Wimbledon dan Djokovic kini dalam usaha mengatasi pencapaian tidak tercabar Steffi Graf yang menang semua gelaran Grand Slam pada 1988 sebelum menang emas perseorangan wanita di Olimpik Seoul.

"Saya amat menghormati dan meminati Steffi serta semua pencapaian dalam kariernya serta tanda yang dia tinggalkan dalam sukan ini," kata Djokovic pada sidang media.

"Apabila saya berfikir mengenai pencapaian menakjubkannya iaitu empat gelaran Grand Slam dan pingat emas Olimpik pada tahun sama, saya tidak mahu mengatakan ia mampu dicapai, tetapi ada peluang tipis untuk seseorang melakukannya semula tidak kira lelaki atau wanita."

Pada ketika dua seteru utama, Rafael Nadal dan Roger Federer tersisih daripada undian 64 pemain di Tokyo, Djokovic jelas pilihan utama untuk menang emas Olimpik.

"Ketika ini, ia nampak sangat realistik buat saya. Sudah tentu, ia antara sasaran dan impian, tetapi sukar untuk membuat perbandingan dalam sukan mengenai zaman ketika dia bermain dengan zaman sekarang," kata Djokovic.

"Tetapi, kekuatan mental beliau menjadi sesuatu inspirasi buat saya dan diharapkan saya dapat menggunakan keadaan itu pada cabaran akan datang," katanya.

Djokovic menang pingat gangsa di Olimpik 2008 di Beijing, tetapi terlepas pingat empat tahun lalu apabila tewas kepada Juan Martin del Potro apabila pemain Argentina itu menyingkirkannya di pusingan pertama di Rio de Janeiro.

Secara bergurau, Djokovic berkata, dia lega apabila tidak berdepan Del Potro pada kejohanan kali ini dan agak janggal beraksi tanpa Nadal dan Federer, selepas menyamai rekod mereka dengan gelaran ke-20 Grand Slam di Wimbledon.

"Sejak 15 tahun lalu, tidak banyak kejohanan apabila saya beraksi tanpa Roger dan Rafa, jadi agak janggal kerana sekurang-kurangnya saya akan nampak seorang daripada mereka," kata Djokovic.

"Tetapi, masih ramai lagi pemain terbaik dunia di sini. (Daniil) Medvedev, (Stefanos) Tsitsipas, (Alexander) Zverev dan Andrey (Rublev) – mereka dalam kedudukan enam dan tujuh terbaik di dunia dan pencabar utama menang pingat emas."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 8:57 PM