REAKSI Djokovic selepas menewaskan Zverev. FOTO EPA
REAKSI Djokovic selepas menewaskan Zverev. FOTO EPA
AFP

New York: Novak Djokovic akan beraksi bertemu Daniil Medvedev selepas menewaskan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo, Alexander Zverev di separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS), hari ini.

Djokovic yang diletakkan selaku pilihan utama, mengatasi lawannya dari Jerman yang juga pilihan keempat 4-6, 6-2, 6-4, 4-6, 6-2 untuk melangkah ke pentas final di Stadium Arthur Ashe bertemu pilihan kedua, Medvedev.

"Saya akan melayan perlawanan seterusnya seperti perlawanan terakhir dalam karier saya," kata Djokovic.

"Hanya tinggal satu perlawanan. Ayuh lakukannya. Saya akan memberikan segala-galannya pada perlawanan itu nanti."

Djokovic sedang memburu kejuaraan Terbuka AS buat kali keempat dalam kariernya dan kejuaraan Grand Slam ke-21 untuk muncul pemain terbanyak memenangi gelaran utama itu.

Ketika ini dia berkongsi rekod 20 kemenangan bersama Rafael Nadal dan Roger Federer yang tidak beraksi kali ini.

"Ini adalah detik yang ditunggu-tunggu. Peluang seperti ini amat dinanti-nantikan," kata Djokovic.

Mengulas pertemuan dengan Zverev yang menghancurkan impiannya untuk memenangi pingat emas apabila menyingkirkannya di separuh akhir dekat Tokyo, Djokovic mengakui ia bukan perlawanan yang mudah.

"Saya tahu bakal berdepan perlawanan sengit. Zverev adalah seorang juara. Dia seorang yang saya hormati di dalam dan di luar gelanggang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 12:37 PM