YAN Yee cemerlang di Sukan Sea Hanoi. FOTO Owee Ah Chun
YAN Yee cemerlang di Sukan Sea Hanoi. FOTO Owee Ah Chun
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penerjun negara Ng Yan Yee kemungkinan akan mengambil keputusan untuk bersara dalam acara terjun jika keadaan fizikalnya tidak lagi berada pada tahap yang terbaik.

Terdahulu, dia berjaya membuktikan statusnya sebagai 'orang lama' dalam acara terjun bukanlah penghalang untuk meraih pingat emas di temasya Sukan Sea Hanoi di Vietnam.

Tampil sebagai antara penerjun lebih berusia berbanding peserta lain, Yan Yee berjaya membawa pulang dua pingat emas untuk negara menerusi acara 3 meter (m) papan anjal wanita dan acara 3 m seirama wanita bergandingan bersama Ong Ker Ying.

Yan Yee berusia 29 tahun berkata, keputusan untuk bersara dalam acara sukan adalah berdasarkan kepada keupayaan fizikalnya untuk menyertai kejohanan kelak.

Katanya, walaupun dia masih mahu meneruskan kerjaya sebagai atlet dalam sukan berkenaan namun keadaan fizikalnya menyebabkan keupayaan agak terhad sekali gus dibimbangi boleh mendatangkan kecederaan.

"Memang ada terfikir untuk bersara namun masih lagi dalam pertimbangan sebab keadaan fizikal sekarang ini mungkin kita fikir boleh terjun tetapi ada situasi menyebabkan kecederaan.

"Saya lihat dahulu keadaan kelak jika boleh teruskan untuk terjun mungkin akan terus mewakili negara.

"Sekarang ini saya mahu memberi tumpuan kepada latihan dan perbaiki kelemahan untuk menyertai kejohanan akan datang," katanya.

Terdahulu, kem terjun Malaysia membuktikan kehandalan mereka selepas menyapu bersih kesemua lapan pingat emas di Temasya Sukan Sea Hanoi.

Yan Yee antara penyumbang pingat berkenaan apabila berjaya meraih dua emas daripada acara yang disertainya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 5:51 PM