OOi Tze Liang (gambar) serta gandingan Nur Dhabitah Sabri-Ng Yan Yee meraih emas untuk Malaysia. FOTO NSTP
OOi Tze Liang (gambar) serta gandingan Nur Dhabitah Sabri-Ng Yan Yee meraih emas untuk Malaysia. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Atlet terjun negara nyata tidak kekok mempamerkan aksi terbaik pada hari pertama Kejohanan Terjun Antarabangsa atas talian apabila menyumbangkan dua pingat emas.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu menyaksikan emas skuad negara di sumbangkan oleh Ooi Tze Liang dalam acara 3m papan anjal dan gandingan Nur Dhabitah Sabri dan Ng Yan Yee dalam acara 3m seirama.

Tze Liang yang mempamerkan aksi konsisten mengumpul 408.05 mata menewaskan rakan senegara Chew Yiwei di tempat kedua, 365.60 mata manakala atlet Jepun, Reo Sakata ketiga, 342.10mata.

Sementara itu gandingan olimpik negara Ng Yan Yee dan Nur Dhabitah Sabri tidak berdepan masalah untuk mempamerkan terjunan sempurna biarpun lapan bulan tidak bertanding dalam saingan kompetitif.

Yan Yee dan Dhabitah yang sudahpun mengesahkan tempat ke Olimpik dalam acara itu mengumpul 298.98 mata menewaskan gandingan Australia Zara Tullipan-Milly Puckeridge dan Harriet Kaan-Ellie Cole juga dari Australia selepas masing-masing meraih 239.43 mata dan 219.15 mata.

Bagi Yan Yee atau lebih dikenali dengan panggilan Wendy, pertandingan atas talian yang pertama itu amat bermakna bagi dirinya dan juga rakan senegara yang sememangnya dahagakan pertandingan selepas lebih lapan bulan hanya menjalani latihan berikutan pandemik Covid-19.

"Secara keseluruhannya saya rasa bagus sebab sudah lama tak ada pertandingan tambahan pula ini adalah pertandingan pertama yang dibuat secara online membuatkan saya sedikit teruja.

"Ia satu pengalaman yang bagus, biarpun keadaan sunyi tapi ada kawan-kawan berikan sokongan dan ia amat baik sekali," katanya.

Sementara itu ratu terjun negara, Cheong Jun Hoong gagal menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik yang menyaksikan tempat pertama milik atlet Australia, Olivia O`Rourke (248.60 mata), Mei Nagasawa dari Jepun (247.85) dan Sofia Knight, Australia (232.60) masing-masing untuk kedudukan kedua dan ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 7:32 PM