YAN Yee bergambar dengan pingat emas yang dimenanginya dalam acara 3 Meter papan anjal wanita semalam. FOTO Bernama
YAN Yee bergambar dengan pingat emas yang dimenanginya dalam acara 3 Meter papan anjal wanita semalam. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee membuktikan status sebagai 'orang lama' dalam acara terjun di Sukan Sea Hanoi di Vietnam bukanlah penghalang meraih pingat emas untuk negara.

Tampil sebagai antara penerjun lebih berusia berbanding peserta lain, Yan Yee berjaya membawa pulang dua pingat emas untuk negara menerusi acara 3 meter (m) papan anjal wanita dan 3m seirama wanita bergandingan bersama Ong Ker Ying.

Yan Yee yang berusia 29 tahun berkata, walaupun menepati sasaran membolot emas dalam dua acara berkenaan, namun secara keseluruhan persembahannya kurang memuaskan.

Katanya, sebagai atlet senior, dia seharusnya melakukan lebih baik lagi sekali gus banyak perkara harus diperbaiki sebagai persiapan menyertai kejohanan akan datang.

"Saya rasa persembahan kali ini kurang baik kerana sebagai atlet senior seharusnya kurang melakukan kesilapan. Namun apa pun saya lega dapat hadiahkan emas untuk negara.

"Setiap atlet ada cara yang tersendiri apabila menyertai setiap kejohanan. Oleh itu bagi saya semuanya ada peluang untuk meraih kejayaan," katanya.

Selain itu, Yan Yee berkata, kejayaan membawa pulang pingat emas dituju khas sempena hari ibu dan seluruh rakyat Malaysia.

"Ibu saya banyak memberikan sokongan ketika saya menanggung kesakitan dan hampir mahu berputus atas. Jika bukan sokongan ibu sudah tentu saya tiada di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 1:28 PM