YAN Yee (kanan) dan Ker Ying  bergambar dengan pingat emas selepas mengungguli acara 3 meter papan anjal seirama wanita  di Pusat Akuatik My Dinh.
YAN Yee (kanan) dan Ker Ying bergambar dengan pingat emas selepas mengungguli acara 3 meter papan anjal seirama wanita di Pusat Akuatik My Dinh.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Persekutuan Renang Malaysia (MS) mahu memastikan acara terjun terus didominasi oleh penerjun negara pada temasya Sukan Sea seperti dibuktikan ketika di Hanoi.

Justeru Setiausaha Agung MS, Mae Chan berkata, keputusan membariskan beberapa muka baharu di Sukan Sea Hanoi adalah tepat bagi membolehkan mereka merasai pengalaman pertama beraksi di temasya dwitahunan itu.

"Seperti kita ketahui, terjun memenuhi sasaran apabila memenangi kesemua lapan pingat emas dipertandingkan. Tetapi apa yang saya ingin tekankan inilah kali pertama tumpuan diberikan kepada beberapa penerjun muda.

"Dengan keputusan cemerlang itu, saya berasakan kami berada di landasan tepat untuk memastikan atlet terjun negara terus menyerlah di temasya sukan terutama Sukan Sea," katanya.

Jelas Mae Chan, keputusan berani membariskan penerjun muda di Sukan Sea perlu dilakukan kerana barisan penerjun senior boleh memberikan tumpuan kepada kejohanan lebih besar selepas ini.

"Namun saya tak nafikan banyak lagi yang perlu diperbaiki oleh barisan penerjun muda negara terutama apabila menyertai kejohanan selepas ini," katanya.

Meskipun lapan emas yang dimenangi skuad terjun negara rata-ratanya disumbangkan oleh penerjun senior, prestasi penerjun muda terutama yang membuat penampilan kali pertama di Sukan Sea nyata tidak mengecewakan.

Antara mereka adalah Ong Ker Ying yang meraih pingat emas dalam acara 3 meter seirama wanita bergandingan bersama penerjun berpengalaman dan juga Olimpian, Ng Yan Yee.

Bertrand Rhodict yang turut membuat penampilan pertama di Sukan Sea pula menyumbang pingat gangsa dalam acara 1 meter papan anjal individu lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 9:53 PM