BUDIAK juara GP Mediterrennean di Gundogmus. FOTO Ihsan TSG
BUDIAK juara GP Mediterrennean di Gundogmus. FOTO Ihsan TSG
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pecutan solo ketika satu kilometer menuju garisan penamat membolehkan pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Anatolii Budiak muncul juara perlumbaan sehari Grand Prix (GP) Mediterrennean di Gundogmus, Turki semalam.

Tindakan berani pelumba kelahiran Ukraine itu ketika menuju ke garisan penamat ternyata membuahkan hasil sekali gus berjaya mengetepikan Daniil Marukhin dari Almaty Cyclıng Team yang hanya berpuas hati di tempat kedua, manakala wakil tuan rumah, Mustafa Sayar (Sakarya Bb Pro Team) meraih kedudukan ketiga.

Budiak yang berusia 26 tahun dan pemenang jersi kuning Tour Mevlana tahun lalu, mencatat masa keseluruhan dua jam 38 minit lima saat (s) untuk meninggalkan Marukhin 13s di belakang.

Sementara itu, tonggak import dari Eritrea, Metkel Ayob yang sudah memasuki tahun kelima bersama TSG menamatkan perlumbaan di tempat keenam, manakala Nur Amirul Fakhruddin Mazuki menduduki tempat ke-28.

Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff pula menghabiskan saingan di tempat ke-42, diikuti dua import dari Asia Tenggara, Goh Choon Huat (64) dan Jamal Hibatulah (65).

"Saya mahu mengucapkan terima kasih di atas sokongan dan bantuan yang diberikan rakan sepasukan saya. Saya juga mahu berterima kasih kepada pengurus dan penaja.

"Kami adalah satu keluarga yang besar dan akan sentiasa meraih keputusan lebih baik. Perlumbaan hari ini (semalam) sangat sengit dan tuah ternyata memihak kepada pasukan kami," katanya yang sebelum itu menduduki tempat ke-52 di GP Gazipasa kelmarin.

Bagaimanapun, TSG tetap cemerlang di GP Gazipasa selepas Irwandie Lakasek berjaya meraih tempat kedua dan dia tidak mengambil bahagian di GP Mediterrennean.

Keputusan yang diraih Budiak dalam perlumbaan kategori 1.2 itu memperbaiki pencapaian tahun lalu TSG apabila Harrif Saleh terlepas peluang menaiki podium selepas menduduki tempat keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 12:20 PM