TIGA pelumba TSG menguasai podium GP Gundogmus semalam. FOTO Instagram terengganupolygoncyclingteam
TIGA pelumba TSG menguasai podium GP Gundogmus semalam. FOTO Instagram terengganupolygoncyclingteam
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Kejayaan menyapu bersih tiga slot podium pada perlumbaan sehari Grand Prix Gundogmus di Turki semalam melonjakkan nama pasukan berbasikal bertaraf benua Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) yang mengakhiri kempen mereka di Eropah penuh bergaya.

Vitalii Budiak sekali lagi menjadi taruhan terbaik TSG dan pelumba dari Ukraine itu tidak mengecewakan pasukannya apabila menamatkan perlumbaan sejauh 100.5 kilometer dari Okurcalar ke Gundogmus dengan masa dua jam 38 minit 29 saat.

Metkel Eyob dari Eritrea, yang mewakili TSG sejak 2018, di tangga kedua ketinggalan lima saat manakala pelumba dari Mongolia, Jambaljamst Sainbayar melengkapkan podium di tangga ketiga 22 saat di belakang pemenang.

Pengurus pasukan TSG, Mohd Saiful Anuar Aziz berkata, kejayaan tiga pelumba itu satu bonus ketika mereka hanya menyasarkan untuk merampas sekurang-kurangnya satu slot di podium.

"Bagi perlumbaan hari ini (semalam), kami memang sasarkan satu podium tapi bonus buat pasukan pada siri akhir Grand Prix Alanya hari ini apabila pasukan berjaya mendapat tempat 1, 2 dan 3.

"Pertukaran laluan pendakian untuk perlumbaan hari ini juga memberikan kelebihan kepada pasukan TSG kerana laluan ini sudah biasa digunakan pelumba ketika sesi latihan," katanya ketika dihubungi.

Budiak paling cemerlang buat TSG, yang muncul juara berpasukan keseluruhan pada Tour of Sharjah (UAE) dan Tour of Antalya (Turki) dalam kempen selama dua bulan di Asia Barat, Afrika dan Eropah (Turki).

Selain kemenangan semalam, pelumba berusia 26 tahun yang menyertai TSG awal tahun ini, turut meraih enam podium lagi apabila menjuarai Grand Prix Mediterranean pada 6 Mac lalu, ketiga Grand Prix Alanya (5 Februari), menang peringkat keenam Tour du Rwanda (25 Februari), kedua peringkat keempat jelajah sama (23 Februari), kedua keseluruhan Tour du Rwanda (27 Februari) dan kedua peringkat ketiga Tour of Sharjah (30 Januari).

Lebih mengujakan TSG juga muncul naib juara Grand Prix Justiniano menerusi Mohd Harrif Saleh (20 Februari) dan Grand Prix Gazipasa menerusi Irwandie Lakasek (5 Mac), kedua-duanya di Turki.

"Jadual perlumbaan yang banyak awal musim ini membuatkan prestasi pelumba semakin meningkat. Bagi keseluruhan perlumbaan yang disertai hingga setakat ini, pengurusan pasukan berpuas hati dengan pencapaian pasukan kali ini," kata Saiful.

Tidak hairan jika TSG akan menjadi pasukan tumpuan sekali lagi pada Tour of Thailand dari 1 hingga 6 April ini. Sainbayar tampil sebagai juara bertahan apabila dia mengungguli jersi kuning pada perlumbaan tahun lalu yang diadakan Disember lalu. TSG pula di tangga kedua keseluruhan kategori berpasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 7:10 PM