BUDIAK (kanan) bersama pelumba TSG di Rwanda. FOTO Ihsan Instagram terengganupolygoncyclingteam
BUDIAK (kanan) bersama pelumba TSG di Rwanda. FOTO Ihsan Instagram terengganupolygoncyclingteam
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Pelumba baharu Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) Anatolii Budiak membuktikan dia antara pelumba yang harus disegani apabila berpeluang mencabar jersi kuning selepas separuh kempen Tour du Rwanda, perlumbaan jelajah berbasikal terulung di Afrika.

Pelumba berusia 26 tahun dari Ukraine itu kini menghuni tangga keempat dalam kedudukan keseluruhan bagi merebut jersi kuning, ketinggalan 16 saat di belakang pendahulu pelumba Perancis, Axel Laurance dari pasukan B&B Hotels-KTM.

Dia berjaya melonjakkan dirinya selepas menamatkan peringkat keempat sejauh 124.3 kilometer dari Kigali ke Gicumbi semalam di tangga kedua, hanya dua saat di belakang pemenang Kent Main dari ProTouch.

Rakan sepasukannya Metkel Ayob, pelumba dari Eritrea yang menyarung jersi TSG sejak 2018, turut cemerlang apabila berakhir di tangga keempat manakala Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff (71) dan Mohd Shahrul Mat Amin (76) berada di peloton belakang.

"Kayuhan mengagumkan daripada pelumba kami hari ini, melengkapkan cabaran Peringkat 4 dengan @anatolii_budiak di tangga kedua manakala @metkel_eyob di kedudukan ke-4!.

"Anatolii melonjak dalam kedudukan keseluruhan di tempat ke-4 manakala Metkel tangga ke-18!" menurut catatan TSG dalam akaun rasmi Instagram milik mereka.

Terdahulu, Budiak turut berada dalam kelompok 10 terbaik apabila menghuni tangga ketujuh pada peringkat ketiga kelmarin manakala pada peringkat kedua Mohd Shahrul berakhir di tangga ke-10.

Budiak, yang layak beraksi pada perlumbaan lebuh raya temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun lalu, meraih podium di tangga ketiga pada perlumbaan sehari Grand Prix Alanya di Turki, awal bulan ini.

Dari segi kedudukan pasukan, TSG yang muncul juara keseluruhan pada Tour of Sharjah dan Tour of Antalya baru-baru ini bagaimanapun ketinggalan di tangga ke-15 daripada 18 pasukan yang bertanding, 28 minit 17 saat di belakang pendahulu Drone Hopper-Androni Giocattoli, pasukan Pro Road Tour dari Itali.

Edisi ke-14 Tour du Rwanda, perlumbaan kategori 2.1 dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa masih berbaki empat peringkat dengan peringkat terakhir di ibu negara Rwanda, Kigali, Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 12:58 PM