HANAFIAH berkata MSN sepatutnya mencari jalan lain terlebih dahulu untuk menyelesaikan perkara ini seperti berbincang dengan Kementerian Kewangan. FOTO OWEE AH CHUN
HANAFIAH berkata MSN sepatutnya mencari jalan lain terlebih dahulu untuk menyelesaikan perkara ini seperti berbincang dengan Kementerian Kewangan. FOTO OWEE AH CHUN
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Mampu atau tidak barisan atlet negara menyerlah di tiga temasya utama tahun ini bermula dengan temasya Sukan Sea Vietnam (Mei), Sukan Komanwel Birmingham (Julai) dan Sukan Asia Hangzhou, China (September) selepas industri sukan negara dilandai badai berikutan kekangan kewangan.

Kontroversi yang tercetus itu memberi impak besar kepada atlet apabila ramai tidak disambung kontrak serta pemotongan elaun mencetus suasana panas dalam kalangan penggiat sukan di Malaysia.

Tindakan itu terpaksa dilakukan Majlis Sukan Negara (MSN) kerana faktor kekangan peruntukan daripada kerajaan berikutan kesan pandemik Covid-19.

Ketua Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Hanafiah Ayub ketika dihubungi mengakui isu pemotongan elaun memberi impak besar kepada pembangunan atlet terbabit.

"Saya tak pasti bagaimana isu bajet dan pemotongan elaun ini berlaku, ada masalah komunikasi di peringkat kementerian atau tidak. Ketika ini saya rasa yang terkesan adalah MSN.

"Pada pandangan saya, isu bajet ini memang sudah dalam perancangan dan bukan tiada bajet tapi ia lebih kepada penstrukturan yang dikaji semua.

"Tapi saya berpandangan pemotongan elaun atlet ini adalah sensitif. Ia memberi kesan kepada atlet kerana ada sebahagian daripada mereka adalah atlet sepenuh masa.

"MSN sepatutnya mencari jalan lain terlebih dahulu untuk menyelesaikan perkara ini seperti berbincang dengan Kementerian Kewangan atau sebagainya dalam usaha mencari dana tambahan," katanya.

Ini kerana di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), isu bajet tidak timbul kerana ia akan membabitkan perancangan tahunan.

Segala perancangan tahun ini membabitkan empat kejohanan utama iaitu Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China, Sukan Universiti Asean, Thailand, Sukan Institut Pendidikan Tinggi di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Liga Olahraga dan satu Grand Prix akhir akan berlangsung seperti yang dirancangkan.

Ia adalah perancangan tahunan yang segala operasinya berjalan mengikut perancangan awal.

Terdahulu Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengkaji semula keputusan untuk menggugurkan atlet daripada program kebangsaan dan menyelaraskan elaun.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, pihaknya yang terkejut dengan langkah berkenaan, bimbang tindakan itu bakal mendatangkan impak negatif kepada program pembangunan atlet dan bidang sukan negara dalam jangka panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 10:43 PM