NAZMIZAN berkata setiap persatuan sukan perlu memainkan peranan bersama-sama memaju kemajuan sukan tanah air. FOTO Ihsan Facebook Nazmizan Mohamad
NAZMIZAN berkata setiap persatuan sukan perlu memainkan peranan bersama-sama memaju kemajuan sukan tanah air. FOTO Ihsan Facebook Nazmizan Mohamad
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ketika ini bukanlah waktu sesuai untuk Majlis Sukan Negara (MSN) melakukan penyelarasan atau membincangkan isu penyambungan kontrak barisan atlet kebangsaan.

Perkara itu pasti akan menjejaskan prestasi dan persiapan atlet untuk menghadapi tiga temasya utama iaitu Sukan Sea, Sukan Komanwel dan juga Asia.

Bagaimanapun bagi pemerhati sukan yang juga bekas atlet pecut negara, Nazmizan Mohamad berkata, MSN tidak patut dipersalahkan sepenuhnya kerana setiap persatuan sukan perlu memainkan peranan bersama-sama memaju kemajuan sukan tanah air.

Beliau berkata demikian merujuk kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang semata-mata bergantung sepenuhnya kepada dana daripada kerajaan.

"Tahun 2021 yang disulami dengan pandemik Covid-19 tidak patut menjadi medan penilaian atlet.

"Setiap atlet sekurang-kurangnya perlu diberi peluang selepas Sukan Sea. Ia lebih jelas buat kesemua atlet yang mempunyai fokus dan hala tuju untuk tahun ini," katanya.

Katanya, KOM seharusnya menjadikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai contoh teladan terbaik bagaimana mereka menjaga kebajikan atlet di bawah badan induk itu yang langsung tidak terkesan dengan isu yang melanda sukan tanah air.

"Isu kontrak tidak disambung dan pemberian elaun ini memang isu besar.

"Bagi saya, kalau dengan elaun yang diberikan, lebih baik atlet fokus kepada belajar kerana mereka akan fikir kenapa nak bermati-matian berlatih.

"Lebih baik mereka fokus kepada pelajaran dan fokus kepada Sukan Universiti Asean ataupun Universiti Dunia," katanya.

MSN sebelum ini dilaporkan menggugurkan 144 atlet serta menyelaraskan semula elaun bulanan bagi tahun ini, berikutan bajet kepada agensi di bawah KBS itu dikurangkan.

Menurut penyelarasan itu, pemenang pingat emas Sukan Sea dan Sukan Para Asean akan menerima elaun RM2,000, pemenang pingat perak dan gangsa menerima RM800, manakala RM800 buat atlet senior dan RM500 buat atlet pelapis yang berada dalam program tetapi tidak meraih pingat.

Elaun latihan bagi atlet yang merangkul pingat Sukan Asia/Para Asia dan Sukan Komanwel pula adalah sama, menyaksikan pemenang emas menerima kadar elaun RM4,500 diikuti RM4,000 (perak) dan RM3,500 (gangsa).

Imbuhan RM7,500 pula bagi pemenang emas Sukan Olimpik/Paralimpik diikuti RM7,000 (perak) dan RM6,000 (gangsa).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 11:22 PM