Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Hasrat Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) untuk menghantar barisan atlet para remaja ke Sukan Para Remaja Asia (AYPG) 2021 yang dijadual berlangsung dari 28 November hingga 7 Disember depan di Bahrain mungkin perlu dipertimbangkan semula.

Ia susulan daripada kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang seakan-akan tidak merestui MPM yang ingin menghantar kontinjen besar berikutan tiada persiapan rapi dilakukan oleh atlet dan juga proses vaksinansi membabitkan remaja yang berusia 21 tahun ke bawah.

Faizal yang ditemui ketika sesi lawatan rasmi ke Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini berkata, apabila sokongan diperlukan dari kerajaan perancangan rapi perlu dilakukan.

"Kalau MPM nak hantar pasukan kita alu-alukan tapi untuk peruntukan ia tiada dalam perancangan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MSN (Majlis Sukan Negara).

"Ini kerana ia membabitkan kos yang tinggi dan apabila nak gunakan duit rakyat persiapan perlu dibuat. Malah program vaksinasi membabitkan golongan remaja ini baru dijalankan," katanya.

Faizal berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin untuk membincangkan perkara itu.

AHMAD Faizal pada sidang media selepas majlis penyampaian amanat kepada para atlet sempena lawatan rasmi ke Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini. FOTO Bernama
AHMAD Faizal pada sidang media selepas majlis penyampaian amanat kepada para atlet sempena lawatan rasmi ke Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini. FOTO Bernama

Terdahulu dalam satu kenyataan dikeluarkan, MPM berhasrat untuk membawa kontinjen seramai 41 atlet pelapis ke temasya empat tahun sekali itu dengan membabitkan atlet remaja Orang Kurang Upaya (OKU) dari umur 12 hingga 21 tahun.

Kesemua atlet ini bakal menyertai lapan daripada sembilan jenis sukan para yang dipertandingkan.

Begitupun, MPM memaklumkan pada satu mesyuarat bersama Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran Malaysia (BPK-KPM) 21 September lalu, mereka berdepan kekangan kewangan dan susulan lanjut mengenai isu berkenaan sudah dipanjangkan ke pihak kerajaan bagi menyalurkan peruntukan tambahan.

Untuk rekod, Malaysia mula menyertai AYPG sejak 2009 di Tokyo dan pada 2013, Malaysia diberi tanggungjawab menjadi tuan rumah sebelum Dubai menjadi lokasi bagi edisi ketiga pada 2017.

Malaysia memungut pingat terbanyak di AYPG Kuala Lumpur 2013 dengan meraih 19 emas, 22 perak dan 18 gangsa. Di Dubai 2017 pula, kontinjen negara yang dibarisi 12 atlet, membawa pulang enam emas, satu perak dan dua gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 2:05 PM