Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Selepas mengambil kira pelbagai aspek Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi menterinya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini mengumumkan penstrukturan semula elaun atlet.

Kenaikan itu akan membabitkan sebanyak 45 atlet normal dan 12 atlet para yang meraih pingat perak dan gangsa di Sukan Sea yang mana elaun atlet yang meraih perak akan dinaikkan dari RM800 kepada RM1,500 manakala pingat gangsa akan menerima elaun berjumlah RM1,000.

Sementara bagi atlet yang meraih emas kekal dengan kadar elaun RM2,000 sebulan.

Faizal memaklumkan perkhabaran gembira itu ketika hadir pada majlis perhimpunan atlet dan jurulatih di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil hari ini.

"Tahun 2022 adalah tahun yang amat padat buat kontinjen negara dengan empat temasya utama iaitu Sukan Sea, Komanwel, Asia dan Sukan Para Asia.

"Justeru dengan penambahan baikkan kadar elaun atlet disamping kemudahan latihan, penggunaan fasiliti, khidmat sokongan perubatan dan sains sukan ini diharapkan dapat mengembalikan semangat juang yang tinggi kepada atlet.

"Bagi atlet yang tidak memenuhi kriteria pemilihan untuk disenaraikan ke dalam program, saya meminta MSN untuk terus menghulurkan bantuan setiap kali mereka hadir menjalani latihan secara berfasa," katanya.

Dalam perkembangan yang sama Faizal turut memaklumkan bahawa kontrak atlet tidak lagi akan diperbaharui mengikut tahun tapi berdasarkan pencapaian setiap temasya.

Tegas Faizal, KBS akan sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada semua atlet dan mengharap komitmen dan semangat juang yang berterusan daripada semua atlet setiap kali turun mengibarkan jalur gemilang.

Penstrukturan semula kadar elaun ini akan membabitkan pertambahan bajet sebanyak RM322,800 dari jumlah dari RM8.94 juta sebelum ini yang mana kos latihan keseluruhan bagi tahun 2022 kini menjadi sebanyak RM9.3 juta mengikut temasya.

Untuk rekod barisan atlet negara akan mula di uji pada temasya Sukan Sea di Vietnam dari 12 hingga 23 Mei ini diikuti Sukan Komanwel di Birmingham bermula 28 hingga 8 Ogos dan Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China 10 hingga 25 September.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 7:55 PM