Pengarah Bahagian Persediaan Atlet MSN, Jefri Ngadirin. FOTO NSTP
Pengarah Bahagian Persediaan Atlet MSN, Jefri Ngadirin. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Senarai akhir barisan atlet yang akan menyertai program latihan di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) hanya akan dimuktamadkan pada 24 Januari ini.

Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin berkata ia berikutan Persekutuan Karate Do Malaysia (Makaf) belum memutuskan senarai 28 atletnya termasuk barisan pelapis yang perlu diserap dalam program latihan tahun ini.

"Hasil mesyuarat jawatankuasa kerja yang berlangsung jam 2 petang tadi menyaksikan Makaf mahu menangguhkan keputusan senarai akhir atlet mereka untuk program latihan MSN.

"Makaf meminta untuk membuat penilaian dan pemilihan mengikut kriteria ditetapkan, sebelum atlet terpilih mereka dapat memulakan latihan pertama awal bulan depan," katanya.

Jefri berkata keputusan pada 24 Januari itu merupakan konsensus daripada pihak terlibat dalam mesyuarat itu nanti termasuk dari Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hasil perbincangan lebih lanjut untuk memutuskan barisan atlet yang layak disenaraikan dalam program latihan itu.

Ditanya mengapa karate do merupakan sukan terakhir mengadakan mesyuarat selepas kesemua 22 persatuan sukan membuat keputusan Disember lepas, Jefri berkata Makaf mahu mempertimbangkan prestasi atlet mereka pada Kejohanan Karate Asia di Almaty, Kazakstan yang berlangsung pada 19-22 Disember lalu.

Semalam, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata peruntukan terhad membuatkan badan induk sukan itu terpaksa mengurangkan jumlah atlet dalam program latihannya daripada 432 tempat tahun lepas kepada 248 tempat tahun ini bagi atlet biasa, manakala 45 tempat untuk atlet para berbanding 114 tempat tahun lepas.

Seramai 178 atlet pelapis pula ditawarkan kontrak baharu berbanding 260 atlet tahun lepas, manakala 22 atlet pelapis para pula diberi peluang untuk menikmati program latihan selepas tiada kuota ditawarkan kepada mereka sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 9:48 PM