DATUK Nur Azmi Ahmad. FOTO OWEE AH CHUN
DATUK Nur Azmi Ahmad. FOTO OWEE AH CHUN
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Demi menjaga kebajikan atlet, Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) akan menyelesaikan urusan bersama pihak penyedia insurans terpilih untuk membolehkan barisan atlet karate kebangsaan terutamanya pelapis mendapat perlindungan.

Menurut Presiden Makaf, Datuk Nur Azmi Ahmad, kesemua kos itu akan ditanggung sepenuhnya oleh persatuan disamping tajaan diberikan oleh pihak pengurusan insurans yang menjalinkan kerjasama.

"Untuk senior, mereka sudah ada skim gaji dan dilindungi oleh KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial). Untuk junior (pelapis) kita juga akan buat insurans penuh yang dibayar oleh persatuan. Kita akan bayar setiap tahun atau secara bulanan sehingga dia masih berkhidmat dalam program pembangunan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Warga Sukan di Majlis Sukan Negara (MSN), malam tadi.

Ujar Nur Azmi, persatuan akan memberikan perlindungan insurans kedua-duanya iaitu membabitkan perubatan dan nyawa.

"Ada insurans disediakan dalam setiap kejohanan, tetapi ia berlangsung hanya ketika dalam kejohanan sahaja. Saya ingin membuat insurans itu selepas habis kejohanan, dalam perjalanan balik dan itu penting pada kita supaya dapat menjaga nyawa atlet dengan baik.

"Kita sedang proses sekarang dan rasanya selepas sambutan hari raya sudah boleh teruskan, kita akan jalin usahasama iaitu, 50 peratus kita (Makaf) bayar, 50 peratus lagi syarikat insurans taja," katanya.

Pada awal Mac lalu, Makaf memaklumkan pihaknya sedang mempertimbang cadangan untuk menyediakan perlindungan insurans hayat buat atlet karate kebangsaan bagi menjaga kebajikan mereka.

Nur Azmi pada ketika itu berkata, perkara berkenaan sudah dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa Makaf dan akan diputuskan pada mesyuarat yang akan diadakan Mei depan.

Dalam pada itu, Nur Azmi turut berkongsi kalendar kejohanan Makaf tahun ini tertumpu kepada beberapa kejohanan utama antaranya Kejohanan Dunia, Kejohanan Karate Asia dan Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara (Seakf).

"Untuk Kejohanan Dunia, kita akan hantar atlet mengikut ranking terbaik sahaja dan saingan Asia serta SEAKF kita menghantar atlet junior dan juga senior. Kita merasakan persiapan kita pada masa ini adalah kepada atlet pembangunan.

"Sekarang ini adalah lebih kurang dalam 16 orang, itu kita akan fokus di Piala Asia di Thailand nanti," kata Nur Azmi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 4:28 PM