NUR Azmi berkata dari sudut positif ia satu persembahan yang baik bagi kesemua atlet dengan kekangan yang dihadapi berikutan pandemik Covid-19. FOTO OWEE AH CHUN
NUR Azmi berkata dari sudut positif ia satu persembahan yang baik bagi kesemua atlet dengan kekangan yang dihadapi berikutan pandemik Covid-19. FOTO OWEE AH CHUN
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Perjuangan skuad karate negara memburu tempat ke temasya Olimpik terhenti apabila tiga wakil negara terdiri daripada Prem Kumar, R Sharmendran dan P Madhuri gagal menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik pada Kejohanan Kelayakan di Paris, semalam.

Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) Datuk Nur Azmi Ahmad bagaimanapun berpuas hati dengan pencapaian atlet negara apabila mereka mempamerkan semangat juang yang tinggi sebelum tewas kepada lawan yang ranking jauh lebih tinggi.

Katanya, Prem dan Sharmendran tewas di pusingan repechage manakala Madhuri dalam saingan peringkat kumpulan.

"Peluang Prem di pusingan repechage terhenti di pusingan kedua apabila tewas kepada atlet dari Maghribi yang lebih handal dengan status ranking lebih bagus.

"Sharmendran pula terpaksa akur dengan kekalahan 1-5 di pusingan ketiga repechage.

"Manakala tiada sasaran khusus untuk Madhuri selain pendedahan sebagai persiapan ke arah Sukan SEA Vietnam 2021 dan Sukan Asia 2022," katanya.

Azmi berkata, melihat dari sudut positif ia satu persembahan yang baik bagi kesemua atlet negara dengan kekangan yang dihadapi berikutan pandemik Covid-19.

"Walau bagaimanapun mereka sudah mencuba yang terbaik untuk layak ke Olimpik. Persiapan pada saat akhir dan peluang berlatih di Kazakhstan sedikit membantu persiapan atlet negara.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican) dan MSN (Majlis Sukan Negara) berusaha untuk membenarkan atlet menjalani persiapan di Kazakhstan.

"Makaf akan berusaha lebih baik lagi untuk tidak menghampakan apa yang diberikan di Sukan SEA dan Sukan Asia nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 6:19 PM