Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) menyelar tindakan Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) yang mendakwa MSN mengamalkan sikap pilih kasih.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam satu kenyataan oleh Makaf itu menyimpang dari situasi sebenar.

Sikap pilih kasih dan peruntukan gaji jurulatih yang didakwa tidak setimpal seperti yang diterima jurulatih dari sukan lain adalah tidak benar.

"MSN akur dengan keputusan Makaf kerana mereka adalah badan sukan kebangsaan yang bertanggungjawab dalam pembangunan sukan karate di negara ketika ini tetapi kita juga mempunyai limitasi tertentu dalam menentukan peruntukan gaji serta kadar kenaikan gaji jurulatih yang tertakluk kepada Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK).

"Ia diguna pakai untuk semua jenis sukan supaya lebih adil kepada semua dan pihak Makaf sememangnya maklum tentang perkara ini.

Pihak Makaf dialu-alukan untuk menyediakan insentif tambahan kepada jurulatih yang sedia ada sebagaimana yang dilakukan oleh persatuan sukan yang lain yang mempunyai kemampuan kewangan mereka sendiri.

Sementara itu, Shapawi turut memperjelaskan beberapa isu yang didakwa oleh Makaf berhubung pengambilan jurulatih yang sebelum ini timbul ekoran dari masalah dalaman Makaf.

"Terdapat beberapa isu yang didakwa oleh Makaf. Pertama memberhentikan jurulatih luar negara Ali Reza yang sebenarnya adalah calon pilihan Makaf kerana masalah dalaman mereka. Jurulatih itu digantikan dan kita akur dengan keputusan itu.

"Kedua untuk menutup pusat latihan atlet kata di Pulau Pinang dan memindahkannya ke Bukit Jalil juga kita akur walaupun pusat latihan itu banyak melahirkan atlet-atlet kata yang menyumbangkan pingat kepada negara.

"Pada mesyuarat jawatankuasa kerja Makaf pada 21 Januari, mereka mahukan tiga jurulatih mengendalikan program latihan kebangsaan dan pelapis tapi kelmarin mereka minta seorang lagi jurulatih untuk mengendalikan program pembangunan.

MSN berpandangan bahawa cadangan itu masih awal kerana pandemik Covid-19 yang belum reda," katanya.

Walau bagaimanapun bagi menghormati cadangan Makaf sebagai badan utama karate di Malaysia, MSN akan mempertimbangkan dan mengadakan perbincangan semula dengan Makaf melalui mesyuarat jawatankuasa kerja karate nanti yang dijangka akan diadakan pada hujung Mac atau awal April nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 10:38 PM