PRESIDEN MOM, Tan Sri Norza Zakaria.
PRESIDEN MOM, Tan Sri Norza Zakaria.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebulat suara bersetuju menghantar barisan atlet elit negara ke temasya Sukan Sea Vietnam Mei tahun depan.

Ia bermakna pendekatan untuk menghantar kontinjen campuran tidak lagi diguna pakai pada edisi tahun depan mengambil kira keadaan semasa kesan daripada pandemik Covid-19.

Presiden MOM, Tan Sri Norza Zakaria berkata, prestasi atlet akan dinilai dari 2018 sehingga Februari 2022 sebagai asas pemilihan ke temasya dwi tahunan itu.

Kesemua atlet negara berpeluang melayakkan diri dan membuktikan kemampuan sebelum persatuan masing-masing menyerahkan senarai nama pada 12 Mac ini.

"Mesyuarat sudah bersetuju yang mana seramai 250 atlet berada dalam program elit MSN akan membentuk sebahagian besar kontinjen negara ke temasya Sukan Sea.

"Namun penyertaan atlet pelapis akan turut dipertimbangkan sekiranya memenuhi kriteria ditetapkan dan bagi atlet yang tidak berada di bawah program akan tetap berpeluang jika berjaya membuktikan kemampuan di dalam pertandingan diiktiraf," katanya.

Mengulas mengenai syarat kelayakan ke Sukan Sea, Norza berkata, kelayakan bagi kategori A masih sama yang mana atlet perlu berada di kedudukan tiga tempat teratas.

Bagi kategori B pula, jawatankuasa pemilihan bersetuju menetapkan syarat baru iaitu atlet perlu berada dalam kelompok enam terbaik berbanding sebelum ini iaitu lapan terbaik.

Manakala dalam acara berpasukan, setiap pasukan perlu berada dalam kelompok empat terbaik bagi dipertimbangkan di bawah kategori A.

Dalam perkembangan sama Norza turut memaklumkan temasya Sukan Sea akan turut menjadi medan penilaian kelayakan atlet ke dua lagi temasya iaitu Sukan Asia dan Komanwel 2022.

"Bagi dua temasya berkenaan, syarat kelayakan kategori A masih sama iaitu empat kedudukan teratas dan kategori B pula kami sudah bersetuju mengetatkan syarat yang mana atlet perlu berada di lapan kedudukan teratas berbanding 16 terbaik sebelum ini," katanya.

Syarat pemilihan berkenaan sudahpun dipersetujui mengambil kira keadaan semasa kesan daripada pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 8:13 PM