HAKIMI ketika beraksi di Sukan Sea Filipina 2019. FOTO Aizuddin Saad
HAKIMI ketika beraksi di Sukan Sea Filipina 2019. FOTO Aizuddin Saad
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jaguh lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail mengharapkan atlet senior dan junior diberikan peluang sama rata untuk mewakili negara ke temasya sukan Sea Kemboja tahun depan.

Ini kerana, peluang untuk atlet mewakili negara harus diukur berdasarkan siapa yang terbaik diantara mereka sebelum disenaraikan ke temasya dwi tahunan itu.

Hakimi berkata, walaupun inisiatif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meletakkan syarat atlet senior berusia 23 tahun ke atas dinilai menerusi kriteria pemilihan Kategori A seolah akan menyukarkan mereka untuk mewakili negara kelak, namun beliau memandang situasi terbabit daripada sudut positif iaitu perlu berusaha lebih keras untuk melayakkan diri ke temasya itu.

"Syarat yang ditetapkan oleh MOM itu sebenarnya ada juga kebaikan kerana akan adanya persaingan sihat antara atlet junior dan senior untuk mewakili negara.

"Namun, perkara penting adalah prestasi terkini kerana jika ada atlet senior mencatatkan keputusan lebih bagus daripada junior namun tidak mencapai tiga terbaik di Asia Tenggara menyebabkan satu kerugian jika tidak menghantar mereka mewakili negara," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan atlet senior berusia 23 tahun ke atas perlu bekerja lebih keras lagi apabila mereka tidak akan dinilai di bawah Kategori B bagi beraksi di Sukan Sea Kemboja tahun.

Ini kerana, Jawatankuasa Pemilihan Atlet MOM meletakkan syarat atlet terbabit mereka wajib melepasi kriteria pemilihan Kategori A iaitu berada di kedudukan ketiga terbaik di Asia Tenggara.

Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pemilihan Atlet MOM, hanya atlet muda berusia 23 tahun ke bawah akan dipertimbangkan di bawah Kategori B terutama atlet yang menghasilkan keputusan cemerlang di Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Bagi Kategori A, atlet perlu menduduki sekurang-kurangnya tempat ketiga dalam ranking Asia Tenggara bagi acara individu dan keempat untuk berpasukan manakala Kategori B pula atlet perlu berada di kedudukan keenam teratas untuk dipertimbangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 11:48 AM