KETUA jurulatih olahraga kebangsaan, Mashahar Abdul Jalil. FOTO ARKIB NSTP
KETUA jurulatih olahraga kebangsaan, Mashahar Abdul Jalil. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil tidak goyah terhadap keupayaan anak buahnya berada di kedudukan ketiga terbaik di Asia Tenggara untuk dipilih beraksi di Sukan Sea Kemboja tahun depan.

Beliau berkata, ketika ini terdapat beberapa atlet muda berusia 23 tahun ke bawah turut sudah melepasi syarat di bawah Kategori B apabila menghasilkan keputusan cemerlang di Sukan Malaysia (Sukma) 2022, sekali gus menyaksikan kontinjen negara tidak berhadapan masalah untuk membawa pulang pingat di temasya dwi tahunan itu.

Menurutnya, syarat ditetapkan Jawatankuasa Pemilihan Atlet Majlis Olimpik Malaysia (MOM) adalah cabaran perlu dihadapi bagi memastikan wakil negara yang berkualiti saja beraksi di pentas olahraga di Sukan Sea Kemboja.

"Saya lihat itu bukanlah masalah besar buat atlet olahraga negara kerana ketika ini sudah ada yang melepasi kriteria ditetapkan itu untuk beraksi di Sukan Sea Kemboja.

"Pada masa sama, kita sentiasa mengkaji dan melihat prestasi atlet luar negara supaya wakil negara berada pada tahap terbaik seterusnya mampu mempamerkan keputusan positif.

"Setakat ini, persediaan atlet berjalan lancar dan kita giat mempersiapkan mereka untuk kejohanan dwi tahunan itu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan melakukan perbincangan bersama barisan kejurulatihan untuk menghantar atlet negara menjalani latihan di luar negara dalam tempoh terdekat ini.

"Kita akan mengadakan mesyuarat bersama barisan kejurulatihan terhadap keperluan atlet untuk menjalani latihan di luar negara supaya kemampuan mereka dapat dipertingkatkan lagi.

"Perkara paling penting adalah kita mampu mencapai sasaran ditetapkan iaitu membawa pulang 10 emas di Sukan Sea Kemboja," katanya.

Mengikut rekod, MOM meletakkan syarat atlet yang akan bertanding di Sukan Sea Kemboja perlu mematuhi kriteria Kategori A iaitu menduduki sekurang-kurangnya tempat ketiga dalam ranking Asia Tenggara bagi acara individu dan keempat untuk berpasukan manakala Kategori B pula atlet perlu berada di kedudukan keenam teratas untuk dipertimbangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 5:06 PM