MEDVEDEV berikan mata kemenangan buat Russia untuk mara ke final Piala Davis. FOTO EPA
MEDVEDEV berikan mata kemenangan buat Russia untuk mara ke final Piala Davis. FOTO EPA
AFP

Madrid: Daniil Medvedev berjaya memastikan Russia ke final Piala Davis selepas mencatat kemenangan 6-4, 6-4 ke atas Jan Lennard Struff seterusnya membolehkan pasukannya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Jerman.

Pemain nombor dua dunia itu dibantu dengan kemenangan Andrey Rublev 6-4, 6-0 ke atas Dominik Koepfer pada aksi pertama untuk menempah perlawanan akhir bertemu Croatia.

Russia sama seperti Croatia, mereka memburu kejuaraan kali ketiga dalam kejohanan berkenaan.

"Russia tidak perlu sangsi lagi pasukan yang kuat dalam Piala Davis. Ia satu misi yang sukar buat kami berdepan mereka. Bagaimanapun, kami mempunyai kekuatan tersendiri.

"Ia adalah perlawanan final ketiga kami dalam tempoh lima tahun, di mana ia layak untuk diraih dan tidak sering berlaku," kata pemain veteran Croatia, Marin Cilic.

Kekuatan Russia memang tidak boleh disangkal lagi dengan empat pemain berada dalam kelompok 30 terbaik dunia (Rublev kelima, Aslan Karatzev ke-18 dan Karen Khachanov ke-29).

Mereka hanya tumpas satu permainan dalam keseluruhan kejohanan, apabila Rublev dikalahkan pemain veteran Sepanyol, Feliciano Lopez dalam perlawanan pertama mereka.

Croatia berharap dapat mencatat kemenangan dalam salah satu aksi perseorangan dan menyerahkan kepada pasangan beregu nombor satu dunia, Mate Pavic-Nikola Mektic untuk mencari mata kemenangan.

"Mereka mempunyai beregu terbaik di dunia, jadi kami harus menyelesaikannya terlebih dulu untuk acara perseorangan," kata Medvedev.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 2:25 PM