ASLAN Karatsev (kanan) dan Andrei Rublev meraikan kejayaan menewaskan Sepanyol. FOTO EPA
ASLAN Karatsev (kanan) dan Andrei Rublev meraikan kejayaan menewaskan Sepanyol. FOTO EPA
AFP

Paris: Rusia menyingkirkan juara bertahan, Sepanyol daripada saingan Piala Davis apabila menewaskan lawan mereka itu 2-1 untuk mengatur pertemuan suku akhir bertemu Sweden.

Rusia terikat 1-1 dengan Sepanyol yang membawa kepada perlawanan penentuan acara beregu di Madrid.

Aslan Karatsev dan pemain nombor lima dunia, Andrey Rublev meraih kemenangan 4-6, 6-2, 6-4 ke atas gandingan Marcel Granollers dan Feliciano Lopez untuk mengungguli Kumpulan A sekali gus berpeluang beraksi di depan penyokong sendiri dekat Madrid, Khamis ini.

Barisan pemain Rusia yang beraksi di bawah nama Persekutuan Tenis Rusia selepas penggantungan sukan Rusia kerana kesalahan doping, bermula hambar apabila Lopez menewaskan Rublev 2-6, 6-3, 6-4 pada aksi pertama perseorangan lelaki.

Juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Daniil Medvedev menyamakan kedudukan selepas melakar kemenangan 6-2, 7-6 (7/3) ke atas Pablo Carreno Busta sebelum perlawanan ditentukan menerusi acara beregu.

Britain turut melangkah ke suku akhir apabila bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Czech Republic dan akan bertemu Jerman di suku akhir dekat Innsbruck.

Kazakhstan dan Croatia turut melangkah ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 11:31 AM