AKSI  Medvedev membalas hantaran Rublev.
AKSI Medvedev membalas hantaran Rublev.
AFP

New York: Daniil Medvedev menewaskan rakan senegara dari Rusia Andrey Rublev 6-4, 6-3, 6-4 dalam cuaca panas untuk mara ke separuh akhir keempatnya di Terbuka Amerika Syarikat (AS) awal pagi tadi.

Pilihan ketiga dan juara 2021 Medvedev mempamerkan permainan mantap dalam ketiga-tiga set untuk menghampakan Rublev yang tewas sembilan aksi suku akhir berturut-turut Grand Slam.

Medvedev akan menentang juara bertahan Carlos Alcaraz yang juga pilihan utama dari Sepanyol yang menewaskan wakil Jerman Alexander Zverev 6-3, 6-2, 6-4 untuk memburu tempat di final pada Ahad ini.

Dia mengakui cuaca panas mencecah 35 darjah celcius boleh menjejaskan momentum jika permainan berlanjutan lebih lama.

"Cuaca sangat ganas. Hanya satu aspek baik ialah kedua-dua pemain sama-sama terjejas, jadi ia sukar kepada kami berdua," kata Medvedev selepas tamat perlawanan yang mengambil masa 2 jam 48 minit.

Dalam kategori wanita, pilihan kedua Aryna Sabalenka mara ke separuh akhir Terbuka AS ketiga berturut-turut selepas mudah mengetepikan pilihan ke-23 dari China Zheng Qinwen 6-1, 6-4 dan akan menentang pemain tuan rumah Madison Keys.

Madison yang juga pilihan ke-17 mengatasi cabaran wakil Republik Czech Marketa Vondrousova 6-1, 6-4.

Aryna mara ke separuh akhir dalam semua empat Grand Slam musim ini dan menjuarai Terbuka Australia namun tewas di Terbuka Perancis serta Wimbledon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 10:00 AM