LOPEZ gantung raket selepas beraksi kali terakhir di Mallorca. FOTO Agensi
LOPEZ gantung raket selepas beraksi kali terakhir di Mallorca. FOTO Agensi
AFP

Santa Ponca: Yannick Hanfmann mara ke separuh akhir Terbuka Mallorca dengan kemenangan selesa 6-2, 6-4 ke atas Feliciano Lopez yang beraksi buat kali terakhir sebagai pemain tenis profesional.

Pemain Sepanyol berusia 41 tahun itu menjadi pemain tertua mara ke suku akhir jelajah ATP sejak Jimmy Connors pada 1995, yang berusia 42 tahun ketika bermain di Terbuka Halle.

Pemain Jerman, Hanfmann, yang menewaskan juara bertahan dan pemain nombor lima dunia, Stefanos Tsitsipas tidak perlu bekerja keras ketika berdepan pemain veteran itu di kejohanan pemanas badan Wimbledon.

Lopez, yang berada di kedudukan ke-634 dunia, perlukan rawatan pada set kedua tetapi dapat melengkapkan perlawanan itu.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penganjur kejohanan kerana memberi peluang untuk bersara di negara dan hadapan rakyat saya," kata Lopez.

"Saya tidak sangka berada di sini, terima kasih kepada penganjur atas layanan yang mereka berikan kepada saya dan kepada semua yang datang untuk menyokong saya.

"Saya sentiasa melihat tenis sebagai tontonan untuk menggembirakan orang ramai, dan cuba memberikan yang terbaik dari diri saya."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 9:57 AM