Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jawatankuasa siasatan dalaman yang ditubuhkan bagi menyiasat kes atlet lontar peluru para negara, Mohamad Ziyad Zolkefli akan mula bersidang dari 4 hingga 8 Oktober ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan berhubung tindakan selanjutnya hanya akan diputuskan selepas kementerian meneliti laporan daripada jawatankuasa berkenaan.

Katanya, keputusan hanya akan dimaklumkan kepada umum selepas 8 Oktober.

Terdahulu jawatankuasa itu akan dipengerusikan mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Borhan Dolah dan ahlinya terdiri daripada bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salim Parlan dan Ketua Jurulatih Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Mohd Manshahar Abdul Jalil.

Ahmad Faizal Azumu.
Ahmad Faizal Azumu.

Selain tugasan menyiasat kes Ziyad, skop tugas jawatankuasa itu ialah bagi mengenal pasti isu dan kelemahan yang ada serta cadangan penambahbaikan kepada KBS dalam tempoh yang akan ditentukan.

Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia kerana kesalahan teknikal apabila lewat tiba ke bilik menunggu.

Dalam perkembangan yang sama, Faizal turut menzahirkan rasa terkilan sikap segelintir atlet yang mengambil bahan terlarang ketika beliau diminta mengulas mengenai isu doping membabitkan dua atlet angkat berat negara.

Begitupun KBS tidak mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman terhadap atlet yang mana ia adalah di bawah bidang kuasa Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM).

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. FOTO Azhar Ramli
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. FOTO Azhar Ramli

"Kerajaan menolak perbuatan atlet yang menyalahgunakan atau gunakan bahan terlarang untuk tingkatkan prestasi.

"Kementerian akan sentiasa memastikan perkara itu tidak berlaku dan menggesa semua atlet yang ada dalam negara ini tidak kira berprestasi tinggi atau mana-mana peringkat, jauhkan diri daripada bahan terlarang," katanya pada sidang media sempena lawatan rasmi yang pertama ke Majlis Sukan Negara.

Untuk rekod sesi pendengaran yang diaturkan Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas) membabitkan dua atlet angkat berat itu akan berlangsung pada 18 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 5:14 PM