PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. FOTO ARKIB NSTP
PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kontinjen Malaysia sudah bersiap sedia untuk menyertai temasya Sukan Para Asean di Solo, Indonesia dengan hampir keseluruhan atlet dibarisi pelapis muda negara.

Menurut Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, kebanyakan atlet muda ini adalah daripada kalangan mereka yang menyertai Sukan Para Remaja Asia (AYPG) di Bahrain, tahun lalu dan meraih tiga emas, lima perak dan lima gangsa.

"Temasya di Solo (dari 30 Julai hingga 6 Ogos) sudah pasti menjadi medan buat atlet muda ini menimba pengalaman berharga sebelum mewakili negara di temasya besar seperti Sukan Paralimpik di masa akan datang.

"Peluang kali ini diberikan kepada pelapis kerana kontinjen di Solo inilah yang bakal mewakili negara di Sukan Para Asean di Kemboja.

"Persiapan terbaik sudah dilakukan dan sasaran pingat itu akan dimaklumkan sebelum kontinjen berlepas (ke Solo).

"Kami optimis menghantar kontinjen muda kerana inilah barisan yang akan ke Kemboja tahun depan dan seterusnya Olimpik Paris 2024. Ini adalah sebahagian daripada perancangan lima tahun kami dan dalam tempoh itu, mereka akan cukup matang," katanya.

Beliau berkata, Malaysia dijadual menyertai 11 daripada 14 acara dipertandingkan seperti memanah, olahraga, badminton, boccia, catur, goalball, powerlifting, renang, ping pong dan tenis kerusi roda.

Menurutnya, daripada 11 acara itu, pingat emas mungkin diperoleh menerusi badminton, renang, memanah dan boccia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 5:31 PM