REAKSI kecewa Djokovic. FOTO EPA
REAKSI kecewa Djokovic. FOTO EPA
AFP

Tokyo: Impian Novak Djokovic untuk meraih Emas Grand Slam berakhir selepas Alexander Zverev menewaskannya pada aksi separuh akhir Olimpik Tokyo, hari ini.

Pemain nombor satu dunia memenangi set pertama sebelum Zverev yang juga pilihan keempat menewaskannya 1-6, 6-3, 6-1 untuk mengatur pertemuan dengan pemain Russia, Karen Khachanov pada aksi final Ahad ini.

Djokovic yang kini berusia 34 tahun tidak pernah memenangi emas di Sukan Olimpik.

Bintang Serbia itu sudah memenangi Terbuka Australia, Perancis dan Wimbledon pada tahun ini dan memerlukan emas Olimpik serta kemenangan di Terbuka Amerika Syarikat (AS) untuk menyamai rekod Steffi Graf yang melakukannya pada 1988.

Hasrat Djokovic untuk melakar sejarah itu pada mulanya dilihat semakin hampir selepas menewaskan lawannya itu di set pertama.

Ia pastinya pencapaian yang mengecewakan untuk pemenang 20 gelaran Grand Slam itu di Olimpik di mana keputusan terbaik pernah diraihnya adalah pingat gangsa pada 2008.

Dia tewas kepada Andy Murray pada aksi separuh akhir di London sembilan tahun lalu sebelum tersingkir seawal pusingan pertama di tangan Juan Martin del Potro di Rio 2016.

Zverev pula sedang berusaha untuk muncul pemain Jerman pertama memenangi acara perseorangan sejak Graf melakukannya di Seoul.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 6:53 PM