Djokovic sakan penyertaan di Olimpik Tokyo. FOTO Agensi
Djokovic sakan penyertaan di Olimpik Tokyo. FOTO Agensi
AFP

Paris: Pemain tenis nombor satu dunia Novak Djokovic berkata dia akan beraksi di Olimpik Tokyo, yang memberikannya peluang untuk menjadi pemain lelaki pertama meraih Grand Slam Emas.

"Saya menempah tiket ke Tokyo dan akan menyertai #TeamSerbia untuk Olimpik." catat Djokovic di Twitter.

"Dengan perasaan bangga saya bersiap untuk ke Tokyo dan menyertai pasukan kebangsaan bagi merebut pingat paling bersinar di arena Olimpik.

"Bagi saya bermain untuk Serbia sentiasa istimewa dan memberi motivasi malah saya akan cuba membuatkan kami semua gembira. Ayuh pergi."

Pemain berusia 34 tahun itu sudah memenangi gelaran Terbuka Australia, Terbuka Perancis dan Wimbledon tahun ini.

Dia memerlukan emas Olimpik dan kemudian gelaran Terbuka Amerika Syarikat (AS) untuk menjadi pemain lelaki pertama memenangi Grand Slam Emas.

Pencapaian berkenaan hanya pernah dilakukan oleh pemain wanita, Steffi Graff yang memenangi kesemua empat gelaran utama pada 1988.

Peluang Djokovic untuk meraih emas di Tokyo dijangka lebih cerah selepas keputusan pencabar utamanya, Roger Federer dan Rafael Nadal tidak beraksi di kejohanan itu.

Juara Terbuka AS, Dominic Thiem juga tidak menyertainya.

Djokovic memenangi pingat gangsa dalam acara perseorangan di Olimpik 2008 dekat Beijing, ketika tewas kepada Nadal pada separuh akhir sebelum menewaskan James Blake dari AS dalam perebutan tempat ketiga.

Di London pada 2012, Djokovic pembawa bendera kontinjen Serbia pada majlis pembukaan temasya tetapi sekali lagi tewas pada separuh akhir ke atas Andy Murray.

Dia tewas kepada Juan Martin del Potro untuk penentuan gangsa. Del Potro turut menewaskannya empat tahun kemudian di Rio.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 10:34 AM