MORIKAWA menjulang trofi Terbuka British selepas muncul juara di Royal St George. FOTO EPA
MORIKAWA menjulang trofi Terbuka British selepas muncul juara di Royal St George. FOTO EPA
AFP

Sandwich: Walaupun kali pertama beraksi di Terbuka British ia tidak menghalang Collin Morikawa untuk ditabalkan sebagai juara selepas mengetepikan Jordan Spieth dengan kelebihan dua pukulan di Royal St George.

Baru berusia 24 tahun, Morikawa meraih kejuaraan utama keduanya selepas bebas daripada melakukan sebarang bogey di pusingan terakhir untuk menamatkan saingan 15 di bawah par.

"Ini adalah saat yang indah sepanjang hidup saya. Dapat melihat penonton yang luar biasa, saya tidak sabar untuk sekali lagi bertemu anda semua," kata pemain nombor empat dunia itu yang dapat mengawal gemuruh beraksi di depan 32,000 penonton.

Morikawa tidak menunjukkan bahawa dia seorang pemain yang kurang berpengalaman tatkala dia tenang beraksi dalam cuaca 30 darjah selsius di Sandwich.

"Saya sentiasa percaya kepada diri sendiri sejak menjadi pemain profesional, bahawa saya boleh melakukannya.

"Apabila beraksi di kejohanan, lapangan dan corak permainan yang saya tidak pernah bermain, saya sentiasa melakukan ulangkaji dari Isnin hingga Rabu untuk memahami apa yang perlu saya lakukan," katanya yang menjadi pemain pertama memenangi dua kejuaraan utama dalam lapan aksi pertama sejak 1934.

Morikawa berjaya membenam birdie berturut-turut pada tiga lubang pertama melalui putt.

Juara Championship PGA 2020 itu hanya bergantung kepada putt untuk kekal cemerlang pada sembilan lubang terakhir cukup hanya menyamai par di lubang ke-10, 11 dan 15.

Bagaimanapun, dia dibantu satu birdie pada lubang ke-14 hasil putt jarak jauh untuk mencatatkan 15 di bawah par.

Morikawa menjadi pemain pertama muncul juara pada penampilan sulung sejak ia dilakukan Ben Curtis juga di Royal St George 18 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 9:54 AM