OOSTHUIZEN semakin hampir untuk meraih kejuaraan kedua Terbuka British. FOTO EPA
OOSTHUIZEN semakin hampir untuk meraih kejuaraan kedua Terbuka British. FOTO EPA
AFP

Sandwich: Louis Oosthuizen berjaya menyekat Collin Morikawa dan Jorden Spieth untuk kekal mendahului satu pukulan 12 di bawah par menjelang pusingan terakhir Terbuka British di Royal St George.

Pemain Afrika Selatan itu mengumpul 69 pukulan di pusingan ketiga untuk mengatasi satu pukulan di depan Morikawa yang kali pertama beraksi di kejohanan itu dan tiga pukulan meninggalkan juara 2017, Spieth.

Oosthuizen mensasarkan untuk menjulang trofi kejohanan berkenaan buat kali kedua selepas melakukannya pada 2010 iaitu satu-satunya kejayaan kejuaraan utama yang pernah diraih.

Bagaimanapun, dia menduduki tempat kedua dalam enam kejuaraan utama selepas itu, termasuk di Kejohanan PGA Amerika Syarikat (AS) dan Terbuka AS dua bulan lalu.

"Menduduki tempat kedua tidaklah terlalu hebat, jadi saya akan cuba memberikan yang terbaik (di pusingan terakhir) dan menyaksikan sama ada saya mampu menjulang trofi ini sekali lagi," kata Oosthuizen.

Pemain nombor 13 dunia itu terlepas untuk melakukan birdie pada dua lubang pertama.

Bagaimanapun, dia berjaya bangkit untuk membenam birdie di lubang ketujuh dan kesembilan.

Bogey di lubang ke-11 dan 13 menyaksikan Morikawa dan Spieth berkongsi mendahului kedudukan bersama-samanya.

Oosthuizen kembali tenang dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan birdie di lubang ke-16 sekali gus menerima sorakan gemuruh daripada 32,000 peminat yang hadir di Sandwich.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 12:53 PM