MORIKAWA menjulang trofi selepas mengungguli PGA Championship. FOTO AFP
MORIKAWA menjulang trofi selepas mengungguli PGA Championship. FOTO AFP
AFP

COLLIN Morikawa meraih kemenangan pertama dalam kejohanan utama apabila membenam eagle di lubang ke-16 serta tanpa bogey untuk mencatat par 64 pada pusingan terakhir di PGA Championship.

Pemain berusia 23 tahun dari Amerika Syarikat itu yang baharu bergelar status profesional 14 bulan lalu, melakar kemenangan itu hanya pada penampilan keduanya di kejohanan utama.

Morikawa yang menduduki ranking ke-12 dunia, secara keseluruhan mencatat 13 bawah par 267 di TPC Harding Park di San Francisco.

"Ia amat menakjubkan. Ia menjadi impian sepanjang hidup saya sejak zaman kanak-kanak.

"Saya berasa selesa sejak dari mula. Sebagai pemain amatur dan hanya bertukar status profesional tahun lalu dan beraksi di San Francisco yang juga rumah kedua saya, ia amat istimewa," kata Morikawa yang membesar di Los Angeles tetapi belajar di Berkeley di San Francisco.

Pendahulu hari ketiga, Dustin Johnson berkongsi kedudukan kedua bersama Paul Casey dari England.

Johnson melakukan par 68 dan Casey pula par 66 dengan catatan keseluruhan kedua-dua pemain itu adalah 11 bawah par 269.

Jason Day, Matthew Wolff, Bryson DeChambeau, Tony Finau dan Scottie Scheffler kesemuanya berkongsi kedudukan keempat, ketinggalan tiga pukulan berbanding Morikawa.

Morikawa berjaya melakukan empat birdie termasuk dua daripadanya di empat lubang pertama.

Namun eagle pada lubang ke-16 melonjakkan kedudukannya daripada pesaing lain di kedudukan teratas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 10:37 AM