GELAGAT Morikawa bersama trofi kejuaraan. FOTO AFP
GELAGAT Morikawa bersama trofi kejuaraan. FOTO AFP
AFP

Miami: Collin Morikawa mencatat tiga bawah par 69 untuk muncul juara Kejohanan Golf Dunia-Workday Championship dengan kelebihan tiga pukulan di Florida, awal pagi tadi.

Pemenang Kejohanan PGA berusia 24 tahun itu yang mendahului dua pukulan selepas tamat pusingan ketiga semalam tenang mengatasi tekanan di Kelab Golf Concession di Bradenton.

Pusingan akhir Morikawa menyaksikan dia menamatkan permainan dengan 18 bawah degan agregat 72 lubang, tiga pukulan mengatasi Viktor Hovland, Brooks Koepka dan Billy Horschel.

Dia yang bangkit selepas membenam bogey pada par-empat kedua, tenang mendapatkan semula momentum selepas itu.

Dia kemudiannya mencatat empat birdie unutk meraih kemenangan dengan 18 bawah untuk kemenangan keempat Jelajah PGA dalam karier profesionalnya yang baharu memasuki tahun kedua.

"Ini menunjukkan saya boleh ke sini dan bertanding," kata Morikawa selepas mengatasi ramai pemain ternama yang menduduki kelompok 50 teratas.

"Minggu yang hebat. Saya bekerja keras sejak beberapa minggu lalu. Permainan saya sangat bagus dan saya sangat gembira sekarang.''

Morikawa muncul hanya pemain kedua selepas Tiger Woods menjuarai kedua-dua gelaran utama dan WGC sebelum berusia 25 tahun.

Woods kini menjalani rawatan di Los Angeles selepas terbabit kemalangan jalan raya minggu lalu yang menyebabkan kakinya parah.

Morikawa yang menjadikan Woods idolanya menghargai jasa bekas pemain nombor satu dunia itu.

"Tiger amat bermakna kepada saya," kata Morikawa. "Ya, dia terbabit nahas dan syukur dia selamat dan harap akan pulih dengan cepat, jadi saya mahu ucapkan terima kasih kepada anda, Tiger.''

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 11:18 AM