REEZAL berkata pihaknya tidak mahu terburu-buru membuat pengumuman sasaran pingat. FOTO Danial Saad
REEZAL berkata pihaknya tidak mahu terburu-buru membuat pengumuman sasaran pingat. FOTO Danial Saad
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Semua pihak perlu bersabar apabila tibanya masanya sasaran pingat kontinjen negara pada Sukan Olimpik 2020 Tokyo akan diumumkan pada perasmian temasya itu 23 Julai depan.

Bukannya tidak yakin dengan kemampuan atlet pada edisi Olimpik kali ini, namun Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menjelaskan tidak mahu terburu-buru membuat pengumuman tanpa berjumpa terlebih dahulu dengan semua pihak berkaitan termasuk atlet dan barisan kejurulatihan.

Beliau berkata, pihaknya dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria akan mengumumkan sasaran pingat itu sekitar 16, 17 atau 18 Julai ini dalam misi memburu emas Olimpik pertama negara.

"Ini perkara dinantikan oleh rakyat Malaysia. Tak adil kalau kita tak umumkan kerana rakyat nak dengar (sasaran pingat).

"Atlet perlu capai prestasi terbaik, pecahkan rekod kebangsaan atau perbaiki ranking tetapi puncak harapannya sudah tentu membawa balik pingat. Ada harapan buat mereka melakukan yang terbaik.

"Segala pengorbanan mereka selama ini atas tujuan dan semangat demi Malaysia. Sasaran nanti pastinya bersifat realistik dan harap ia dapat dicapai," katanya, dalam sidang media sempena Mesyuarat Bersama Pengurus Pasukan, Jurulatih dan Sekretariat Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi atas talian, hari ini.

Mengikut rekod, Malaysia belum pernah memenangi pingat emas sepanjang penyertaan dalam Sukan Olimpik sejak kali pertama bertanding pada 1960 dengan pencapaian terbaik adalah tujuh perak dan empat gangsa.

Dalam perkembangan sama, Reezal mendedahkan kesemua 30 atlet ke Olimpik 2020 akan diasingkan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 sebelum berlepas ke Tokyo.

Malah, pergerakan mereka juga begitu terbatas dengan tidak dibenarkan berjumpa dengan individu lain sepanjang tempoh latihan sehingga berlepas ke Tokyo bagi mengelak dijangkiti Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 6:56 PM