Reezal Merican mengadakan sidang media secara atas talian selepas Mesyuarat Penyelarasan Kontinjen Malaysia Ke Arah Temasya Sukan Oimpik dan Paralimpik Tokyo 2020.
Reezal Merican mengadakan sidang media secara atas talian selepas Mesyuarat Penyelarasan Kontinjen Malaysia Ke Arah Temasya Sukan Oimpik dan Paralimpik Tokyo 2020.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tiada pertukaran ketua kontinjen negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan Datuk Lee Chong Wei masih memikul tanggungjawab berkenaan bagi menghadapi temasya terbesar dunia itu.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, setakat ini tiada individu lain dilantik atau menggantikan Chong Wei untuk mengetuai barisan atlet Malaysia.

"CDM (ketua kontinjen) masih lagi Chong Wei dan tiada perubahan dilakukan setakat ini.

"Saya turut akan panggil Tan Sri Mohamad Norza Zakaria ( Presiden Majlis Olimpik Malaysia) dan Chong Wei untuk berbincang membabitkan keperluan.

"Dia seorang atlet mempunyai perjuangan tinggi bukan dalam sukan tapi turut membabitkan situasi yang dilalui sebelum ini," katanya, dalam sidang media atas talian, hari ini.

Datuk Lee Chong Wei
Datuk Lee Chong Wei

Terdahulu, timbul tanda tanya kemungkinan atlet negara yang akan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, bulan depan pergi tanpa ditemani ketua kontinjen.

Persoalan itu hadir selepas timbul laporan mengatakan Chong Wei yang dilantik sebagai ketua kontinjen ke Sukan Olimpik kali ini dilaporkan tidak akan bersama atlet negara ke Tokyo bagi menghadapi temasya terbesar dunia berkenaan.

Difahamkan, Chong Wei yang juga bekas jaguh badminton negara terpaksa membuat keputusan sukar itu selepas mendapat nasihat daripada doktornya disebabkan faktor kesihatan selain kes Covid-19 yang masih belum reda di seluruh dunia.

Sementara itu, Reezal berkata, cabaran atlet negara di temasya terbabit bukan hanya perlu menghadapi cabaran daripada negara lain namun turut melalui dugaan protokol keselamatan lebih ketat bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

"Negara kita agak tinggi kes menyebabkan ada beberapa perkara termasuk kawalan lebih ketat dengan setiap hari atlet perlu menjalani pemeriksaan manakala pegawai pula empat hari sekali.

"Protokol keselamatan sangat penting terutama membabitkan atlet kerana tidak mahu apabila mereka sudah berlatih dan mencatatkan prestasi hebat namun terhalang kerana positif Covid-19.

"Saya yakin rakyat Malaysia sudah tentu menanti mereka untuk beraksi namun tak nak kerana tidak boleh (beraksi) bukan disebabkan kecederaan tapi positif Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 7:59 PM