NADAL (kanan) berpeluang muncul pemenang terbanyak Grand Slam. FOTO AFP
NADAL (kanan) berpeluang muncul pemenang terbanyak Grand Slam. FOTO AFP
AFP

Paris: Rafael Nadal dan Novak Djokovic akan memburu lebih banyak rekod Grand Slam di Roland Garros apabila Terbuka Perancis bakal bermula Ahad ini.

Kemenangan ke-14 di Paris akan menyaksikan Nadal meraih gelaran utama ke-21 sekali gus mengatasi rekod 20 gelaran yang dikongsi bersama Roger Federer.

Djokovic, juara 2016, berpeluang meraih gelaran Grand Slam ke-19 jika memenangi saingan edisi kali ini.

Nadal tiba di Paris selepas menewaskan Djokovic di final Rome Masters yang juga pertemuan ke-57 antara mereka berdua. Ia juga adalah gelaran ke-10 Nadal di ibu kota Itali itu.

Bagaimanapun Nadal enggan melihat statistik itu, sebaliknya Roland Garros menjadi tumpuan utamanya ketika ini.

"Saya perlu terus berusaha. Saya tahu apa yang perlu diperbaiki dan akan melakukannya," kata Nadal.

Pada final Roland Garros tahun lalu, Nadal mengatasi Djokovic sekali gus kemenangan ke-100 di kejohanan itu dan hanya tewas sebanyak dua kali sejak membuat penampilan pertama pada 2005.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 10:37 PM