DJOKOVIC (kiri) dan Thiem selepas tamat final Terbuka Australia pada Februari lalu.
DJOKOVIC (kiri) dan Thiem selepas tamat final Terbuka Australia pada Februari lalu.
Agensi

PEMAIN nombor tiga dunia, Dominic Thiem berkata, kekalahan pada final Terbuka Australia 2020 lebih mengecewakannya berbanding tewas dua final Terbuka Perancis.

Pemain Austria itu mara ke final pertamanya di Terbuka Perancis 2018 tetapi gagal menandingi ketangkasan pemain nombor dua dunia, Rafael Nadal apabila bintang Sepanyol itu menang straight set.

Setahun kemudian, kedua-duanya sekali lagi bertemu di final Roland Garros dan keputusan tetap memihak Nadal yang menewaskan Thiem dalam empat set untuk menjulang gelaran Terbuka Perancis ke-12.

Pada awal tahun ini, Thiem mara ke Grand Slam ketiga dan hampir menjuarai gelaran utama pertama tetapi tewas kepada bintang nombor satu, Novak Djokovic yang bangkit selepas ketinggalan dua set untuk muncul juara.

"Sangat mengecewakan tewas final Terbuka Australia. Kesannya agak lama. Pada final Roland Garros, saya selalu ketinggalan jauh tetapi di Australia, saya di depan dengan dua set dan mata break di set keempat.

"Memang sukar tetapi dari segi lain, saya hanya tewas kepada Nadal dan Djokovic pada final Grand Slam. Selepas mengingatinya, saya mula terima hakikat dan kepedihan itu mudah 'dihadamkan', " kata Thiem kepada Radio ATP.

Thiem yang lebih meminati gelanggang tanah liat menewaskan tiga pemain dalam kelompok 10 teratas --- Gael Monfils, Nadal dan Alexander Zverev sebelum tewas di tangan Djokovic pada final di Melbourne Park.

"Mara ke final Terbuka Australia adalah pencapaian terbesar dalam karier saya. Saya pelu mengatasi beberapa masalah di luar dan di dalam gelanggang. Saya mengatasi tiga pemain utama berturut-turut dan kemudiannya tewas kepada pemain terbaik dalam sejarah kejohanan dalam aksi lima set," kata Thiem.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 2:00 PM