DJOKOVIC cipta rekod Grand Slam ke-23. -FOTO AFP
DJOKOVIC cipta rekod Grand Slam ke-23. -FOTO AFP
AFP

Paris: Novak Djokovic mencipta sejarah "luar biasa" apabila dia merangkul gelaran Grand Slam lelaki ke-23 dan dinobatkan sebagai pemain terhebat sepanjang zaman.

Pemain Serbia berusia 36 tahun itu bangkit daripada permulaan goyah untuk menewaskan Casper Ruud dari Norway 7-6 (7/1), 6-3, 7-5 seterusnya menjulang kejuaraan Terbuka Perancis ketiga dan mengatasi rekod 22 gelaran Grand Slam yang dikongsinya dengan Rafael Nadal.

"Ia satu perasaan yang luar biasa untuk memenangi gelaran ke-23. Saya amat bersyukur dan bertuah kerana berdiri di sini dengan begitu banyak pencapaian yang luar biasa," kata Djokovic.

Ia adalah gelaran ketiga di Paris itu selepas 2016 dan 2021 selain 10 gelaran Terbuka Australia Djokovic, tujuh di Wimbledon dan tiga di Terbuka AS.

"Bukan secara kebetulan gelaran Grand Slam ke-23 di sini kerana ia adalah yang paling sukar untuk saya menang dalam karier saya. Saya sangat emosional sekarang dan saya sangat, sangat bangga," tambah Djokovic yang melakukan 11 ace dan 52 kemenangan secara keseluruhan untuk mengatasi Ruud.

Dia turut menjadi satu-satunya pemain lelaki yang memenangi semua empat 'Slams' sekurang- kurangnya sebanyak tiga kali dan dia akan kembali sebagai pemain nombor satu dunia.

Apabila ditanya sama ada dia boleh memenangi Grand Slam ke-24 dan ke-25, dia menjawab: "Ya, mengapa tidak. Saya berasa baik tahun ini, saya memenangi dua Grand Slam (Melbourne kemudian Roland Garros). Jadi kenapa tidak?"

"Saya sangat bermotivasi, sangat terinspirasi untuk terus mencipta sejarah dalam sukan ini."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 11:17 AM