Azizulhasni (kiri) bersama Shah Firdaus ketika menjalani latihan. FOTO File NSTP
Azizulhasni (kiri) bersama Shah Firdaus ketika menjalani latihan. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tidak mahu dibuai mimpi indah sebagai pelumba pecut basikal trek terbaik dunia, Azizulhasni Awang kini melalui fasa latihan berat dalam persediaan menyertai Kejohanan Kebangsaan Australia 2021 di Velodrom Anna Meares, Brisbane, Australia, hujung bulan ini.

Situasi sama turut dilalui rakan sepelatihnya, Shah Firdaus Sahrom supaya dapat mengekalkan momentum meraih kejayaan pada kejohanan terbabit.

Azizul yang pernah melakar kemenangan pingat emas dan gangsa dalam acara keirin di kejohanan itu Disember lalu menganggap pertandingan yang berlangsung hujung bulan ini sebagai pentas latihan utama untuk ke peringkat seterusnya.

"Pada Mac ini, ada kejohanan Australia di Brisbane dan saya berharap ia tidak dibatalkan (disebabkan Covid-19)," katanya.

Sebelum itu, Pelumba basikal negara terus menyerlah di Australia apabila Shah Firdaus membuktikan keunggulannya dengan menguasai Kejohanan Keirin Kebangsaan Victoria.

Paling menggembirakan skuad negara menguasai kedudukan satu dua dengan Azizul berada di tempat kedua manakala pelumba tuan rumah Ned Pollard ketiga.

Ditanya mengenai sasarannya di Brisbane nanti, Azizulhasni berkata, beliau mengharapkan satu lagi kejayaan diraih di sana seperti mana dilakukan pada Disember lalu.

"Pada waktu itu (di Brisbane nanti), masih dalam fasa latihan berat lagi. Fasa yang menggunakan kekuatan namun kami akan tetap bersaing sebagai (pentas) perlumbaan ujian," kata Azizul yang bakal membuat penampilan keempat di Tokyo nanti selepas di Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.

"Sudah tentu akan buat yang terbaik (di Brisbane) dan saya berharap boleh berada di pentas podium lagi seperti tahun lalu," katanya.

Temasya Olimpik Rio lima tahun lalu menjadi kenangan paling indah buat pelumba yang dikenali sebagai 'The Pocket Rocketman' apabila meraih pingat gangsa dalam acara keirin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 11:36 PM