AZIZULHASNI bakal menyertai Kejohanan Dunia di Berlin minggu depan.
AZIZULHASNI bakal menyertai Kejohanan Dunia di Berlin minggu depan.
Aida Adilah Mat


SELEPAS terbabit kemalangan tahun lalu, pelumba basikal negara Azizulhasni Awang memulakan kempen memburu emas pertama negara di temasya Olimpik Tokyo 2020 dengan gelaran pelumba nombor satu dunia acara keirin.

Ia permulaan baik buat jaguh negara itu dalam usaha melakar sejarah buat negara selepas bergelar juara dunia pada 2017.

Azizul akan memulakan saingan musim ini dengan menyertai Kejohanan Dunia di Berlin minggu depan dengan latihan selepas ini akan memberi tumpuan kepada kelajuan.

"Minggu ini minggu terakhir kami melalui latihan berintensiti tinggi selama tiga minggu. Jadi keadaan amat meletihkan dan badan ada rasa sakit-sakit," katanya.

Azizulhasni yang dikenali 'ThePocketRocketman' mengalami kemalangan dalam acara keirin di siri kelima Piala Dunia Brisbane, Australia pada Disember lalu.

Mengulas mengenai keadaannya itu selepas lima minggu terbabit kemalangan, dia yang menjuarai acara keirin siri keempat Piala Dunia yang berlangsung di Cambridge, New Zealand tahun lalu berkata, sakit itu masih ada di sesetengah tempat namun perlu disesuaikan dengan keadaan latihan.

"Buat masa sekarang saya sasarkan kedudukan podium kerana masih dalam fasa untuk proses pemulihan daripada kecederaan tempoh hari. Saya harap sebelum berangkat ke Berlin saya boleh pulih sepenuhnya dan selepas itu barulah saya boleh berdiri di tengah podium. Insya-Allah. Doakan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 6:20 PM