CHE Shahrul Azmi gigih menjalani latihan bersama skuad hoki lelaki kebangsaan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
CHE Shahrul Azmi gigih menjalani latihan bersama skuad hoki lelaki kebangsaan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Penjaga gol muda, Che Shahrul Azmi Che Saufi mendedahkan pernah berasa berputus asa kerana tidak mendapat panggilan untuk menyertai kem latihan skuad hoki lelaki negara.

Namun, kesabaran penjaga gol berusia 23 tahun itu akhirnya membuahkan hasil apabila ketua jurulatih, Sarjit Singh memilihnya dalam senarai 30 pelatih skuad negara untuk persiapan kejohanan selepas ini termasuk Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak bermula 4 hingga 11 Mei depan.

"Memang sudah nak putus asa, tetapi saya tahu mana standard saya, jadi cuba bangun untuk kejohanan seterusnya," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam.

Che Shahrul mungkin kurang dikenali dalam hoki padang, namun reputasinya cukup hebat bersama skuad hoki 5 sebelah (5s) negara apabila pernah membantu skuad Bawah 18 Tahun negara memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Remaja 2018 di Buenos Aires, Argentina.

Malah, dia antara tonggak penting membantu skuad negara meraih pingat perak di Piala Dunia Hoki 5s di Oman, pada awal tahun ini.

Pemain berasal dari Seremban itu turut cemerlang pada penampilan pertamanya di saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini apabila membantu Nurinsafi menamatkan saingan di tempat keempat, sekali gus membuka mata Sarjit untuk memanggilnya dalam kem latihan skuad kebangsaan.

"Saya memang tak pernah jangkakan dapat terpilih sertai latihan bersama skuad kebangsaan, tapi sepanjang aksi liga, memang saya cuba berikan yang terbaik.

"Sebenarnya hoki 5s dengan hoki padang memang ada perbezaan ketara, tetapi sebagai penjaga gol, ia lebih kepada teknik dan asas permainan.

"Bagi hoki 5s ada board (di sekeliling padang), jadi susah untuk kita nak jangka bola itu macam mana. Tetapi hoki padang tiada board, kita (ada masa untuk) bertindak, boleh banyakkan gerakan," katanya.

Bagaimanapun, Che Shahrul mengakui berdepan saingan sengit untuk terpilih dalam senarai 18 pemain terakhir yang akan beraksi di Piala Sultan Azlan Shah kerana perlu bersaing dengan pemain berpengalaman iaitu Muhammad Hafizuddin Othman, Muhamad Zaimi Mat Deris dan Adrian Andy Albert bagi merebut dua posisi penjaga gol.

Pada saingan Piala Sultan Azlan Shah nanti skuad negara yang tampil selaku juara bertahan akan bersaing dengan Kanada, Jepun, Pakistan, Korea Selatan dan New Zealand.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 2:04 PM