PENGURUS baharu skuad hoki negara, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak. FOTO MHC
PENGURUS baharu skuad hoki negara, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak. FOTO MHC
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Enam pemain berpeluang meraih penampilan kali pertama bersama skuad senior hoki negara selepas ketua jurulatih, Sarjit Singh memilih mereka dalam senarai 30 pemain bagi menjalani latihan fasa kedua.

Enam pemain berkenaan adalah Che Shahrul Azmi Che Saufi, Muhamad Kamarulzaman Kamaruddin, Muhammad Syawal Abd Razak, T Naaveennash, Azimuddin Syakir Kamaruddin dan Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi.

Pengurus baharu Speedy Tigers, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata, semua 30 pemain itu melepasi saringan awal 46 pemain yang dipanggil sebelum ini.

"Senarai 30 pemain ini akan menjalani latihan peringkat kedua sebelum kita mengumumkan skuad terakhir iaitu 18 pemain selepas perlawanan persahabatan dengan New Zealand.

"Insya-Allah pada 1 Mei kita akan umum senarai 18 pemain yang akan menggalas tugas di Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh.

"Purata umur 30 pemain ini adalah 25 tahun," kata Ahmad Najmi pada sidang media mengumumkan senarai 30 pemain skuad senior kebangsaan, hari ini.

Selain enam pemain yang belum pernah membuat penampilan antarabangsa itu, Sarjit turut memilih empat pemain daripada skuad Piala Dunia Remaja tahun lalu ke dalam senarai 30 pemain itu.

Mereka adalah Muhammad Faris Harizan, Mughni Mohamad Kamal, Alfarico Lance Liau Jr dan Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari yang juga pemain paling muda berusia 18 tahun.

"Kami akan beri peluang kepada semua pemain dan sejak awal lagi saya sudah beritahu yang kami perlu menilai mereka selepas 25 hingga 30 perlawanan," katanya.

Pada saingan Piala Sultan Azlan Shah dijadual berlangsung dari 4 sehingga 11 Mei depan, skuad negara yang tampil selaku juara bertahan akan bersaing bersama Kanada, Jepun, New Zealand, Pakistan dan Korea Selatan.

Skuad negara kemudian akan beraksi di Piala Negara-Negara di Poland bermula 31 Mei sehingga 9 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 4:43 PM