SARJIT ketika sesi latihan skuad negara. FOTO AIZUDDIN SAAD
SARJIT ketika sesi latihan skuad negara. FOTO AIZUDDIN SAAD
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Sesi latihan fasa pertama skuad hoki senior secara rasmi tamat semalam dengan ketua jurulatih negara Sarjit Singh sudah mempunyai bayangan untuk skuad utamanya.

Ia adalah persediaan penting buat skuad negara yang dalam persiapan untuk mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah yang akan bermula dari 4 hingga 11 Mei ini.

Namun Sarjit memutuskan untuk tidak memberikan sasaran kepada SpeedyTigers di kejohanan berkenaan.

Sarjit menegaskan bahawa beliau tidak mahu memberi tekanan yang tak relevan kepada barisan pemainnya.

"Saya tidak mahu memberi pemain tekanan jadi tiada sasaran yang diletakkan kepada mereka.

"Tapi saya mahu pasukannya beraksi dengan baik dan berikan segalanya di atas padang nanti," katanya.

Kem latihan fasa pertama skuad hoki negara menyenaraikan 46 pemain yang mana ia akan dikecilkan kepada 30 pemain menjelang fasa kedua nanti.

30 pemain terbaik yang terpilih itu akan menyertai latihan yang bermula 1 April ini.

Pemilihan dilakukan Sarjit untuk membentuk pasukan baharu bagi menghadapi Piala Azlan Shah di mana skuad negara yang tampil selaku juara bertahan akan bersaing bersama Kanada, Jepun, New Zealand, Pakistan dan Korea Selatan.

Skuad negara kemudian akan beraksi di Piala Negara-Negara di Poland yang akan bermula 31 Mei sehingga 9 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 2:35 PM