FAIZAL beraksi pada final Piala TNB menentang pasukan TNB. FOTO Bernama
FAIZAL beraksi pada final Piala TNB menentang pasukan TNB. FOTO Bernama
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Penyerang sensasi negara, Faizal Saari memutuskan untuk terus menyarung jersi skuad hoki kebangsaan sekiranya khidmatnya masih diperlukan sekali gus melupakan hasrat untuk bersara.

Pemain berstatus bintang berusia 33 tahun itu berkata, kehadiran Sarjit Singh selaku ketua jurulatih Speedy Tigers yang baharu adalah antara faktor utama dirinya menangguhkan hasrat untuk berundur daripada skuad kebangsaan.

Sarjit sememangnya bukan baharu dalam perjalanan karier Faizal yang pernah dibimbing jurulatih itu ketika mengendalikan Terengganu Hoki Team (THT) pada saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) antara tahun 2014 sehingga 2016.

"Saya ada berhubung dengan 'coach' Sarjit. Saya memang tak ada masalah (dengannya) dan saya rasa akan teruskan jika kudrat saya diperlukan.

"Beliau pernah menjadi jurulatih THT pada 2014, 2015 dan 2016, tetapi untuk peringkat antarabangsa, saya belum pernah ada pengalaman dilatih olehnya. Saya harap nama saya terpilih untuk mewakili Malaysia.

"Memang saya ada bagi bayangan untuk bersara, tapi bila Sarjit dilantik dan dia juga salah seorang jurulatih pilihan saya, saya rasa perlu terus berjuang untuk Malaysia serta untuk dirinya.

"Saya rasa dia pernah letak kepercayaan yang tinggi kepada saya, jadi saya perlu buktikan kemampuan di atas padang," katanya.

Pada 3 Mac lalu, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengumumkan perlantikan Sarjit sebagai ketua jurulatih skuad hoki negara yang baharu bagi menggantikan tempat A Arul Selvaraj dengan kontrak dua tahun.

Bekas pemain skuad negara itu pernah menerajui pasukan kebangsaan dari Januari 2007 hingga Disember 2008 selain turut melatih pasukan remaja kebangsaan dari 2004 hingga 2006.

Sarjit bakal menggalas tugas pertama di Piala Sultan Azlan Shah yang bermula 4 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 2:31 PM