SARJIT Singh ketua jurulatih baharu skuad hoki lelaki negara. FOTO NSTP
SARJIT Singh ketua jurulatih baharu skuad hoki lelaki negara. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hari ini mengumumkan perlantikan bekas pemain kebangsaan, Sarjit Singh sebagai jurulatih kebangsaan skuad hoki negara yang baharu bagi menggantikan tempat A Arul Selvaraj dengan kontrak dua tahun.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal selepas Mesyuarat Khas Pertama MHC yang berlangsung di sini hari ini.

Subahan berkata, MHC bersama barisan jawatankuasa kejurulatihan yang diketuai oleh Datuk Majid Manjit Abdullah sebulat suara bersetuju dengan perlantikan berkenaan.

"Perlantikan Sarjit dipersetujui oleh semua jawatankuasa dengan semua ahli memberi input dan pandangan masing-masing sebelum MHC membuat keputusan memilih Sarjit.

.

"Pemilihan Sarjit adalah berdasarkan beberapa faktor dan saya yakin beliau mampu untuk kembali meletakkan pasukan negara lebih kompetitif dan lebih baik pada masa hadapan.

"MHC akan memberi kepercayaan dan sokongan penuh buat Sarjit mengendalikan skuad negara," katanya.

Subahan bagaimanapun menegaskan bahawa tiada sebarang petunjuk prestasi utama (KPI) diletakkan kepada Sarjit buat masa ini.

"Kita perlu berikan beliau masa kerana kejayaan tidak akan berlaku dalam masa satu hari. MHC akan beri peluang untuk Sarjit membentangkan perancangan dan idea.

"Beri beliau ruang untuk selesaikan dulu apa yang patut terutama dalam urusan pemilihan pemain dan kakitangan yang diperlukannya.

"Mungkin dalam masa dua tahun ini keputusan akan dapat dilihat dan MHC percaya dia boleh membawa pemain ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Sarjit yang kini menjadi jurulatih pasukan negeri Johor, pernah menerajui pasukan kebangsaan dari Januari 2007 hingga Disember 2008.

Bekas pemain antarabangsa itu turut melatih pasukan remaja kebangsaan dari 2004 hingga 2006.

Sebanyak 23 jurulatih - lima warga tempatan dan 18 warga asing - memohon jawatan itu. Dan 11 ahli Jawatankuasa Kejurulatihan MHC menyenarai pendek empat calon untuk temu duga.

Empat mereka ialah Sarjit dan bekas jurulatih kebangsaan K Dharmaraj, Glenn Turner dari Australia dan Brendon Caralon dari Afrika Selatan. Kedua-dua Caralon dan Turner adalah pembantu kepada bekas jurulatih kebangsaan Arul.

Speedy Tigers mempunyai tiga pertandingan tahun ini: Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh (4-11 Mei), Piala Negara-negara di Gniezno, Poland (31 Mei- 9 Jun) dan Piala Juara-Juara Asia, Kota Hulunbuir, Mongolia Dalam (mulai 8-17 September).

Dalam perkembangan lain, Subahan turut mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Nishel Kumar dilantik sebagai Ahli Lembaga Eksekutif MHC selain kembali ke Institut Sukan Negara (ISN) selepas setahun dipinjam.

Justeru, kerusi yang ditinggalkan Nishel di badan induk itu bakal dipangku Setiausaha Kehormat Persatuan Hoki Negeri Pulau Pinang, V Jayanandhan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 2:47 PM