SARJIT (kiri) ketika diperkenalkan selaku ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara. FOTO AIMAN DANIAL
SARJIT (kiri) ketika diperkenalkan selaku ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara. FOTO AIMAN DANIAL
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tugas getir menanti jurulatih baharu skuad hoki kebangsaan, Sarjit Singh untuk siapkan pasukan negara kembali menakluk Asia di temasya Sukan Asia, Aichi-Nagoya 2026.

Wajah baharu skuad Speedy Tigers akan diumumkan pada 10 Mac ini membabit sekitar 40 hingga 42 pemain sebelum ia dikecilkan kepada 25 pemain.

Sarjit pada sidang media yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini bagaimanapun berkata, dia memerlukan sekurang-kurangnya tempoh 14 hingga 18 bulan untuk mendapatkan satu pasukan yang mantap.

Beliau yang turut dipertanggungjawabkan sebagai ketua jurulatih yang akan turut memberi perhatian kepada skuad junior berkata, antara ciri pemilihan pemain yang diberi penekan adalah aspek disiplin selain gabungan pemain senior dan junior.

Malah beliau turut tidak menolak untuk menggunakan khidmat pemain yang menyerlah di Liga Hoki Malaysia 2024 (MHL).

"Senarai pemain akan diumumkan pada 10 Mac ini untuk membuat persiapan untuk Piala Sultan Azlan Shah dan latihan pertama akan bermula pada 19 Mac ini.

"Apa yang penting ketika ini adalah untuk pastikan pasukan bersedia untuk Sukan Asia yang akan datang (Osaka).

"Penilaian pemain akan diberi keutamaan untuk beri peluang kepada pemain muda terutama kepada pemain yang boleh melakukan kerja lebih demi masa depan hoki negara.

"Tapi kita juga perlu pemain yang berpengalaman untuk menyokong pemain muda ini dan jika boleh saya mahu lebih ramai pemain bermain di peringkat antarabangsa," katanya.

Turut hadir pada sidang akhbar tersebut Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal.

Sarjit yang kini menjadi jurulatih pasukan negeri Johor, pernah menerajui pasukan kebangsaan pada Januari 2007 hingga Disember 2008.

Bekas pemain antarabangsa itu turut melatih pasukan remaja kebangsaan dari 2004 hingga 2006.

Beliau turut meraih dua gangsa Sukan Asia di New Delhi 1982 dan Beijing 1990.

Malah diberi tanggungjawab sebagai kapten pasukan dari 1987 hingga 1993 dan pernah beraksi dua kali di temasya Olimpik Los Angeles dan Olimpik Barcelona 1992.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 2:40 PM