LEGION Go beri pengalaman permainan mudah alih mengasyikkan di samping berupaya lancar sebarang permainan bertaraf AAA.
LEGION Go beri pengalaman permainan mudah alih mengasyikkan di samping berupaya lancar sebarang permainan bertaraf AAA.
Muhammad Saufi Hassan


Perkakas permainan mudah alih atau 'handheld' pada ketika ini sudah banyak berada di pasaran dengan kepelbagaian spesifikasi dan keupayaan tersendiri.

Namun, tidak banyak peranti segmen berkenaan menawarkan pengalaman permainan terbaik pada kelasnya, khususnya jika menyentuh soal saiz skrin dan keupayaan paparan.

Untuk itu, Lenovo bijak memenuhi keperluan pengguna dengan pengenalan Legion Go yang menampilkan skrin bersaiz 8.8 inci dengan paparan QHD+ IPS, sekali gus memberikan pengalaman permainan lebih baik.

Penggunaan skrin itu memberikan nilai tambah kepada pengalaman permainan dan ia persis bermain menerusi set desktop kelas permainan dengan skrin yang begitu 'fluid.'

Tidak banyak perkakas permainan mudah alih menawarkan pengalaman permainan seperti itu dan kebiasaannya skrin yang ditawarkan adalah begitu 'dull' dan mematikan selera pengguna.

Bagi Legion Go ini, penulis mendapati pengalaman permainan yang sangat mengasyikkan di samping keupayaannya untuk melancarkan sebarang jenis permainan bertaraf AAA tanpa masalah.

Menerusi ujian penulis, Legion Go ini mampu melancarkan HellDivers 2 serta Call of Duty Modern Warfare 3, kedua-duanya tahap sederhana tanpa kelengahan.

MENERUSI Lenovo Legion Go, ia menampilkan definisi baharu dalam keupayaan perkakas mudah alih.
MENERUSI Lenovo Legion Go, ia menampilkan definisi baharu dalam keupayaan perkakas mudah alih.

Untuk judul Horizon Forbidden West pula, penulis boleh melakukan talaan pada tahap tinggi dan penulis tidak berasakan bermain dengan 'gaming handheld' sebaliknya umpama set desktop.

Menyentuh aspek spesifikasinya, skrin paparan untuk Legion Go ini menyokong kadar segar semula 144Hz dan dikuasakan dengan cip Ryzen Z1 Extreme bersama padanan sistem memori 16GB LPDDR5X frekuensi 7,500Mhz iaitu talaan memori lebih tinggi berbanding binaan LPDDR5 biasa.

Lebih menarik adalah Legion Go ini menyokong alat kawalan boleh buka (detachable controller) dan mod FPS boleh digunakan untuk genre permainan berkenaan.

Di samping itu, sistem storan juga boleh dipertingkatkan dengan binaan SSD m.2 2242 TLC.

SAIZ skrin 8.8 inci dengan QHD memberikan pengalaman permainan lebih baik.
SAIZ skrin 8.8 inci dengan QHD memberikan pengalaman permainan lebih baik.

Pengguna juga boleh melakukan talaan prestasi menerusi menekan satu butang di bahagian kanan dan pengguna boleh memilih untuk mod penjimatan bateri ataupun prestasi.

Ruang angin di bahagian atas Legion Go ini juga dapat memastikan peranti ini kekal pada tahap optimum biarpun ketika penggunaan jangka panjang.

Untuk sokongan bateri saja, ia mampu bertahan sekitar satu jam untuk talaan prestasi tinggi dan mod penjimatan bateri sekitar 90 minit tanpa henti.

Secara keseluruhannya, peranti ini adalah definisi sebenar kepada perkakas permainan mudah alih, malah ia turut didatangkan dengan bekas 'hard case' untuk memudahkan pengguna.

Penulis memberikan pujian kepada rekaan skrin yang luas dan padanan paparan sangat baik untuk kandungan permainan atau penstriman video.

PERKAKAS permainan mudah alih semakin popular dalam kalangan pengguna hari ini.
PERKAKAS permainan mudah alih semakin popular dalam kalangan pengguna hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2024 @ 6:20 AM