PEMAIN hoki negara gigih menjalani latihan bagi menghadapi Sukan Asia  Hangzhou. FOTO Bernama
PEMAIN hoki negara gigih menjalani latihan bagi menghadapi Sukan Asia Hangzhou. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Skuad hoki kebangsaan kini berada pada landasan tepat untuk menyerlah pada Sukan Asia Hangzhou di China bulan depan.

Bekas pemain serangan Australia Glenn Runner, yang ketika ini membantu persiapan Speedy Tigers bagi menghadapi temasya itu, percaya dengan keupayaan skuad negara selepas kejayaan menduduki tempat kedua di Piala Juara-Juara Asia (ACT) 2023 yang berlangsung di Chennai, India awal bulan ini.

"Saya rasa mereka kini lebih cergas, pantas dan lebih berskil daripada sebelum ini, jadi mereka sepatutnya mampu memberikan prestasi terbaik di Sukan Asia.

"Namun saya rasa untuk pasukan ini bersedia untuk Sukan Olimpik, kami perlu menjaringkan lebih banyak gol padang dan kami perlu perbaiki pukulan sudut penalti.

"Hari ini di latihan dan juga di ACT, kami menjadi pasukan dengan jaringan gol padang terbanyak, jadi saya gembira dengan perkara itu," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini hari ini.

Turner berkata disebabkan setiap kejohanan mempunyai tekanan berlainan, pemain kebangsaan perlu sentiasa positif dan yakin ketika beraksi dipadang bagi mencapai keputusan cemerlang pada temasya tersebut.

Juara Sukan Asia akan layak secara automatik ke Sukan Olimpik.

Sementara itu, penyerang skuad hoki kebangsaan Faizal Saari merasakan kehadiran Turner dan seorang lagi jurulatih yang juga bekas pemain Australia Kieren Govers, membantu mereka mencapai tahap kesediaan sehingga 80 peratus, bagi mempamerkan 'taring' sebenar pada temasya sukan di Hangzhou nanti, dengan menggunakan beberapa strategi baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 8:17 PM